
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Malaysia mengecam sekerasnya tindakan rejim zionis Israel yang memintas dan menahan ahli serta anak kapal Global Sumud Flotila (GSF) di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus ketika melaksanakan misi kemanusiaan menuju ke Gaza.
- Menegaskan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim, kemanusiaan dan hak asasi manusia.
- Menuntut pembebasan tanpa syarat dan jaminan keselamatan bagi semua yang ditahan, termasuk 25 warganegara Malaysia.
- Mendesak pembebasan kapal terlibat serta jaminan keselamatan kepada individu masih berada di atas kapal.
- Menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dan sokongan penubuhan negara Palestin merdeka pra-1967.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan tindakan tersebut merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang maritim, kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.
“Malaysia turut menuntut pembebasan tanpa syarat serta jaminan keselamatan ke atas semua ahli dan anak kapal yang ditahan termasuk 25 warganegara Malaysia,” tegas kenyataan itu.
Selain itu, Malaysia mendesak supaya kapal yang terlibat dilepaskan serta jaminan keselamatan diberikan kepada individu yang masih berada di atas kapal berkenaan.
Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa digesa mengambil tindakan tegas bagi memastikan rejim Israel bertanggungjawab terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan.
“Malaysia menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta menyokong usaha ke arah keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan termasuk penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” jelasnya.