
HAVANA, 21 Mei – Hubungan Cuba dan Amerika Syarikat (AS) kini berada pada tahap sangat tegang berikutan tekanan politik yang memuncak susulan dakwaan jenayah Jabatan Kehakiman AS terhadap bekas Presiden Raul Castro.
- Kerajaan Cuba menyeru rakyat berhimpun di luar kedutaan AS pada Jumaat untuk membantah tindakan AS.
- Presiden Diaz-Canel mengutuk tindakan AS sebagai tiada asas undang-undang dan pencerobohan, China dan komuniti antarabangsa mengecam.
- Sekatan minyak AS selama empat bulan mencetuskan krisis tenaga, gangguan elektrik hingga 20 jam, inflasi tinggi dan kekurangan bekalan.
Kerajaan Cuba mengeluarkan amaran keras terhadap sebarang campur tangan asing termasuk menyeru rakyat berkumpul di luar kedutaan AS di sini pada Jumaat untuk membantah tindakan terbaharu Presiden Donald Trump mendakwa Castro.
“Rakyat diminta berkumpul di luar kedutaan AS pada Jumaat pukul 12:30 tengah hari (waktu tempatan),”gesa akhbar rasmi kepulauan Caribbean itu.
Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel melalui catatan di X berkata pertuduhan itu tidak mempunyai asas undang-undang dan merupakan pencerobohan tentera terhadap Cuba.
Masyarakat antarabangsa menyelar dakwaan terbabit selepas Trump turut bertindak menjatuhkan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan ancaman terhadap Greenland.
China mengatakan secara tegas terus menyokong Cuba dan menggesa AS untuk meredakan ketegangan di negara itu.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun dalam sidang media pada Khamis berkata Washington harus menghentikan tindakan sekatan dan menghukum Cuba.
“Ancaman kekerasan AS ini harus dihentikan,” kata Guo.
Sementara itu, rakyat Cuba berkata tuduhan AS itu sengaja direka bagi meningkatkan tekanan kepada negara berkenaan.
“Ini sebenarnya lebih kepada serangan awam terhadap tokoh negara ini,” jelas Fabian Fernandez, seorang akauntan.
Pedro Leal, seorang pesara juga menuduh Washington sengaja menekan rakyat Cuba.
“Apa yang AS lakukan di sini sekarang adalah jenayah, selain daripada sekatan tenaga yang menghalang kami daripada membawa masuk bahan api,” katanya.
Sekatan minyak AS selama empat bulan, sebahagian daripada kempen untuk melemahkan kepimpinan Cuba, telah menyebabkan ekonomi kepulauan itu terjejas di ambang kehancuran.
Cuba mengalami krisis tenaga termasuk gangguan bekalan elektrik hingga 20 jam sehari serta ketiadaan air.
Inflasi yang berterusan telah menyebabkan harga barangan asas melambung tinggi dan sampah menimbun di jalanan.- AFP