Mahkamah bebas 19 penunjuk perasaan Albania

Foto AFP

TIRANA, 6 Julai – Mahkamah di Albania membebaskan 19 penunjuk perasaan yang ditahan susulan insiden keganasan ketika demonstrasi membantah pembinaan sebuah resort mewah yang dikaitkan dengan keluarga Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantahan tercetus kerana rancangan pembinaan hotel mewah dalam rizab alam semula jadi di pesisir, memicu protes berterusan.
  • Demonstrasi hampir setiap hari di Tirana; ratusan penunjuk perasaan berhimpun menghalang kemasukan ahli Parlimen.
  • Pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata, semburan lada dan meriam air; rusuhan menyebabkan kecederaan dan penahanan.

Menurut peguam mereka, kesemua individu berkenaan sebelum ini ditahan atas dakwaan enggan mematuhi arahan polis, menganjurkan perhimpunan haram serta mengganggu ketenteraman awam.

Sejak penghujung Mei, bantahan tercetus berhubung rancangan pembinaan hotel mewah yang dikaitkan dengan Ivanka Trump dan suaminya Jared Kushner di kawasan rizab alam semula jadi di pesisir pantai negara itu.

Demonstrasi di ibu negara, Tirana, berlangsung hampir setiap hari, dengan ratusan penunjuk perasaan turut berhimpun di luar bangunan Parlimen minggu lalu bagi menghalang kemasukan ahli Parlimen.

Pasukan keselamatan bertindak menggunakan gas pemedih mata, semburan lada dan meriam air bagi menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang cuba menembusi sekatan, selain membaling objek seperti batu dan telur.

Dalam insiden tersebut, 15 anggota polis dilaporkan cedera manakala 25 penunjuk perasaan ditahan.

Daripada 19 individu yang dibebaskan, dua dikenakan tahanan rumah, manakala 12 lagi diarahkan melapor diri kepada polis kehakiman secara berkala. Lima yang lain pula tidak berdepan sebarang pertuduhan.

Keputusan mahkamah itu disambut sorakan gembira oleh penyokong yang berkumpul di luar kompleks kehakiman sambil melaungkan “Bebaskan mereka”.

Walaupun insiden keganasan tercetus minggu lalu, kebanyakan perhimpunan sebelum ini berlangsung secara aman dan berjaya menarik ribuan peserta.

Malah, puluhan ribu orang berhimpun pada Sabtu lalu dalam demonstrasi terbesar sejak gerakan itu bermula, dengan tuntutan kini meluas termasuk desakan supaya Perdana Menteri, Edi Rama meletakkan jawatan.

Satu lagi perhimpunan dijangka berlangsung di Tirana pada malam ini.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.