Krisis Mali: Lebih 4,000 bakal haji terjejas susulan pembatalan penerbangan EgyptAir

FOTO HIASAN

BAMAKO, 3 Mei – EgyptAir membatalkan penerbangan haji ke dan dari Mali, sekali gus menjejaskan lebih 4,000 bakal jemaah dari negara Afrika Barat itu, menurut badan pengurusan haji negara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembatalan berlaku ketika Mali menghadapi krisis keselamatan akibat serangan berterusan kumpulan pemisah dan kumpulan jihad.
  • Serangan berskala besar minggu lalu mengakibatkan kematian menteri pertahanan dan menyekat beberapa laluan masuk ke Bamako.
  • Keputusan pembatalan dipengaruhi oleh peningkatan kos bahan api penerbangan serta situasi keselamatan yang semakin meruncing.
  • Pihak berkuasa akui kebimbangan bakal jemaah; rundingan tertinggi sedang dijalankan untuk penyelesaian segera dan memastikan jemaah berlepas dalam keadaan terbaik.

Pembatalan itu berlaku ketika Mali berdepan krisis keselamatan serius susulan serangan berterusan kumpulan pemisah dan jihad terhadap kerajaan junta pemerintah.

Serangan berskala besar minggu lalu ke atas beberapa kubu kuat junta dilaporkan mengorbankan menteri pertahanan negara itu, manakala kumpulan jihad turut menyekat beberapa laluan masuk ke ibu negara, Bamako.

Menurut badan berkenaan, keputusan pembatalan dibuat susulan peningkatan kos bahan api penerbangan serta situasi keselamatan yang semakin meruncing.

Pihak berkuasa mengakui keputusan itu menimbulkan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan bakal jemaah, namun rundingan peringkat tertinggi sedang dijalankan bagi mencari penyelesaian segera.

“Semua usaha sedang dilakukan bagi memastikan jemaah dapat berlepas dalam keadaan terbaik,” menurut kenyataan badan itu.

Pembatalan tersebut menjejaskan hampir satu pertiga daripada keseluruhan kuota haji Mali sebanyak 13,323 jemaah bagi musim 2026.

Ibadah haji dijadual bermula pada minggu terakhir Mei, dengan umat Islam dari seluruh dunia kini mula memasuki Arab Saudi bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.-AFP