
SCHIPHOL, 4 Mac– Sebuah penerbangan KLM dari Oman selamat mendarat di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam pada awal pagi Rabu, membawa 93 penumpang warga Belanda serta beberapa individu dari Belgium dan Luxembourg.
- Penerbangan KLM pertama dari Belanda tiba di Schiphol membawa 93 penumpang termasuk warganegara Belgium dan Luxembourg.
- Kerajaan Belanda belum mengumumkan rancangan penghantaran pulang tambahan walaupun ribuan rakyat masih terkandas.
- Sembilan belas pelajar Australia terkandas di Dubai selamat tiba di Sydney disambut keluarga dengan suasana penuh kesyukuran.
Pesawat berkenaan merupakan aset pertama yang dihantar dari Belanda ke Asia Barat bagi menjemput pelancong dan kakitangan syarikat penerbangan yang terkandas di rantau tersebut.
Walaupun ribuan rakyatnya dilaporkan masih terkandas, kerajaan Belanda menyatakan bahawa buat masa ini, mereka belum mempunyai sebarang rancangan penghantaran pulang segera yang seterusnya.
Sementara itu, di Sydney, Australia, seramai 19 pelajar negara berkenaan yang terkandas di Dubai sewaktu dalam perjalanan ke pertandingan robotik di Turkiye, selamat pulang ke tanah air pada Rabu.
Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Sydney disambut dengan penuh kesyukuran oleh ahli keluarga dan kakitangan sekolah.
Suasana hiba menyelubungi balai ketibaan apabila ibu bapa dan orang tersayang yang membawa bunga serta belon menzahirkan rasa lega sebaik sahaja kumpulan pelajar tersebut keluar, sambil menceritakan pengalaman mencemaskan sewaktu berada di luar negara.
Sektor penerbangan global kini sedang mengalami gangguan teruk selepas peperangan di Iran memaksa penutupan hab utama di Asia Barat termasuk Dubai, Doha, dan Abu Dhabi.
Situasi tersebut menyebabkan puluhan ribu penumpang terkandas di seluruh dunia serta menjejaskan ribuan jadual penerbangan. -REUTERS