Korea Utara lancar peluru berpandu ketika Trump umum rancangan bertemu Jong Un

Foto AFP

SEOUL, 20 Ogos- Korea Utara melancarkan kira-kira 10 peluru berpandu balistik jarak dekat dari kawasan Pyongyang pada Khamis, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangan untuk bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran peluru berpandu berlaku semasa latihan bersama AS-Korea Selatan Ulchi Freedom Shield.
  • Jepun melaporkan satu peluru berpandu yang dipercayai dilancarkan Korea Utara telah jatuh.
  • Trump mendakwa Korea Utara mempunyai 57 senjata nuklear; Seoul anggar antara 80 hingga 120.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) memaklumkan pelancaran itu berlaku ketika Korea Selatan dan AS sedang menjalankan latihan ketenteraan bersama Ulchi Freedom Shield (UFS) yang dipendekkan tahun ini.

Jepun sebelum ini memaklumkan satu peluru berpandu yang dipercayai dilancarkan Korea Utara telah jatuh, menurut Pejabat Perdana Menteri Jepun dalam hantaran di platform X.

Pelancaran terbaharu itu berlaku ketika Trump berusaha menghidupkan semula hubungan yang didakwanya berjaya dibina dengan Jong Un ketika penggal pertama beliau sebagai presiden.

Trump pada Rabu berkata beliau merancang bertemu Jong Un pada akhir tahun ini dan menyifatkan penting untuk kedua-dua pihak “berbaik-baik”.

Dalam masa sama, beliau mendakwa Korea Utara kini memiliki 57 senjata nuklear yang “sangat berkuasa”, manakala Seoul menganggarkan negara itu memiliki antara 80 hingga 120 senjata nuklear.

Korea Utara sebelum ini sering mengecam latihan ketenteraan bersama AS dan Korea Selatan sebagai persiapan untuk menyerang negaranya serta kerap melancarkan peluru berpandu ketika latihan berkenaan berlangsung.

Sementara itu, Kim Yo Jong, adik kepada Jong Un berkata abangnya masih mempunyai “kenangan dan perasaan yang baik” terhadap Trump serta menyifatkan hubungan antara kedua-dua pemimpin “baik” ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak mengetahui mengenai sebarang komunikasi semasa antara kedua-dua pemimpin.

Latihan UFS dijadual berakhir Jumaat ini, kira-kira seminggu lebih awal daripada jadual asal atas cadangan pihak AS. Pentagon memaklumkan pengurangan tempoh latihan itu tidak akan menjejaskan objektif latihan ketenteraan AS.

Latihan berkenaan bertujuan mempersiapkan Korea Selatan dan AS menghadapi kemungkinan serangan Korea Utara.

AS kini menempatkan kira-kira 28,500 anggota tenteranya di Korea Selatan sebagai sebahagian daripada usaha pertahanan negara itu.

Menteri Pertahanan Korea Selatan, Ahn Gyu-back berkata Seoul kekal tidak bersetuju untuk mengiktiraf Korea Utara secara rasmi sebagai negara bersenjata nuklear.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung pula berkata beliau akan melakukan segala usaha bagi menyokong usaha Trump untuk mencapai keamanan dengan Korea Utara. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.