
JAKARTA, 20 Ogos- Kebakaran hutan di Indonesia semakin membimbangkan apabila lebih 200,000 hektar kawasan terbakar sejak awal tahun ini, dengan jerebu turut menjejaskan Sarawak.
- Hampir 95,000 hektar terbakar pada Julai, menurut kerajaan Indonesia.
- Jerebu tebal menyelubungi beberapa kawasan Borneo Indonesia, termasuk Palangkaraya.
- Sebanyak 767 pegawai dikerahkan di seluruh Borneo untuk menangani kebakaran.
- Keadaan dijangka lebih kering pada September dan Oktober, mencabar usaha memadam kebakaran.
AFP hari ini melaporkan enam kawasan di negeri itu merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat.
Hampir 95,000 hektar kawasan di seluruh Indonesia terbakar pada Julai sahaja, menurut kerajaan negara itu.
Kebakaran berkenaan menyebabkan jerebu tebal menyelubungi beberapa kawasan di Borneo Indonesia, termasuk Palangkaraya, ibu negeri Kalimantan Tengah.
Pegawai Kementerian Perhutanan Indonesia, Yudho Shekti Mustiko berkata 767 pegawai dikerahkan di seluruh Borneo bagi menangani kebakaran.
Beliau berkata keadaan dijangka lebih kering pada September dan Oktober, sekali gus mencabar usaha menangani kebakaran.
Keluasan kawasan terbakar tahun ini sudah melebihi jumlah yang direkodkan ketika musim El Niño pada 2019 dan 2023, namun masih belum menyamai kemusnahan pada 2015 apabila kebakaran membakar jutaan hektar kawasan dan mencetuskan krisis jerebu serantau.
Sementara itu, Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni berkata pakar bersiap sedia menjalankan operasi pengubahsuaian cuaca sekiranya terdapat awan yang sesuai untuk pembenihan awan.
Pakar turut mengaitkan kebakaran dengan faktor manusia, termasuk kesan penebangan hutan selama empat dekad yang menyebabkan kawasan luas lebih mudah terbakar. -AFP