
WASHINGTON, 12 Oktober – Tujuh Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) mempersoal kesahan perjanjian Presiden Donald Trump yang membenarkan eksport diesel Rusia, walaupun larangan AS terhadap import tenaga negara itu masih berkuat kuasa sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
- Perjanjian didakwa bercanggah dengan undang-undang; pentadbiran dikritik kerana tidak berunding dengan Kongres atau memberi penjelasan.
- Keputusan dikritik sebagai memberikan talian hayat kewangan kepada Putin dan menggesa pentadbiran membatalkannya segera.
- Trump umum perjanjian dengan Putin benarkan penghantaran diesel besar bagi pelonggaran sekatan sementara; ia mengundang bantahan, sementara Setiausaha Perbendaharaan mempertahankan tindakan.
Menerusi kenyataan bersama, ahli kongres secara jelas membantah import tenaga dari Rusia pada 2022 bagi menghalang wang rakyat Amerika daripada membiayai perang terhadap Ukraine.
“AS tidak sepatutnya mengimport minyak dari Rusia sehingga negara itu menghentikan tindakan agresif terhadap Ukraine dan menghentikan ancaman terhadap sekutu NATO.
“Keputusan Presiden Trump untuk membenarkan import diesel Rusia ke AS secara langsung bercanggah dengan undang-undang tersebut.
“Pentadbiran beliau juga gagal berunding dengan Kongres atau mengemukakan sebarang penjelasan bagi mewajarkan keputusan itu, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang,” menurut kenyataan itu lagi.
Keputusan berkenaan dikecam kerana didakwa “memberikan talian hayat kewangan kepada Putin ketika Rusia terus membunuh orang awam Ukraine” dan menggesa pentadbiran Trump supaya “segera membatalkan keputusan itu”.
Kenyataan itu turut ditandatangani tiga senator Demokrat, masing-masing Jeanne Shaheen, Richard Blumenthal dan Ron Wyden, serta empat senator Republikan, Susan Collins, Lisa Murkowski, John Curtis dan Thom Tillis.
Trump, pada Jumaat mengumumkan perjanjian dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin untuk membenarkan penghantaran diesel dalam jumlah besar sebagai pertukaran bagi pelonggaran sementara sekatan AS.
Perjanjian itu telah mencetuskan reaksi daripada Ukraine, Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa anggota Kongres AS.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent mempertahankan perjanjian berkenaan pada Ahad dalam satu temu bual bersama Fox News.
“Kami akan melaksanakannya menggunakan semua kuasa undang-undang,” katanya. – AFP