Keganasan susulan demonstrasi Gen Z di Jerman dikecam

Seorang penunjuk perasaan memakai topeng Batman sambil memegang pembesar suara ketika menyertai demonstrasi anjuran gerakan “GenZ regelt!”/ AFP

FRANKFURT, 1 November- Ahli politik Jerman mengecam pertempuran dan kejadian rompakan yang berlaku ketika demonstrasi diketuai golongan muda pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin politik mengecam keganasan; Boris Rhein mengutuknya, Dobrindt menyalahkan kumpulan kiri dan beberapa individu komuniti migran.
  • Puluhan ribu menyertai protes menuntut perhatian isu belia: kos sara hidup, peruntukan pendidikan dan pemotongan belanjawan.
  • Rusuhan dan rompakan dilaporkan di Frankfurt, Berlin, Cologne dan Hamburg; polis guna meriam air terhadap perusuh yang membaling bom petrol.
  • Gerakan GenZ regelt! mengumumkan demonstrasi baharu pada 14 November, menyifatkan himpunan lalu sebagai permulaan gerakan.

Ketua Menteri Hesse, Boris Rhein menyifatkan tindakan ganas itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Menteri Dalam Negeri, Alexander Dobrindt pula menyalahkan kumpulan berhaluan kiri yang cenderung melakukan keganasan serta individu daripada komuniti migran yang mencetuskan kekacauan.

Puluhan ribu orang menyertai demonstrasi anjuran gerakan “GenZ regelt!” pada Sabtu bagi menuntut perhatian terhadap isu golongan muda termasuk kos sara hidup, peruntukan pendidikan dan pemotongan belanjawan.

Bagaimanapun, kejadian rusuhan dan rompakan dilaporkan berlaku di Frankfurt, manakala keganasan turut tercetus di bandar utama lain termasuk Berlin, Cologne dan Hamburg.

Polis menggunakan meriam air terhadap kumpulan anak muda yang membaling bom petrol.

Ketua bersama Parti Hijau, Franziska Brantner berkata keganasan itu menjejaskan perjuangan sah mereka yang berhimpun secara aman, manakala ketua Parti Die Linke, Ines Schwerdtner, menegaskan tindakan vandalisme oleh segelintir pihak tidak akan menghapuskan tuntutan peserta yang berdemonstrasi secara aman.

Gerakan “GenZ regelt!” mengumumkan demonstrasi baharu pada 14 November, sambil menyifatkan himpunan sebelum ini sebagai permulaan kepada gerakan berkenaan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.