
ROM, 23 Julai — Kebakaran hutan besar-besaran terus merebak dan memusnahkan sebahagian kawasan di selatan Perancis, Itali dan Sepanyol pada Rabu.
- Tiga anggota bomba terkorban dan ribuan penduduk dipindahkan dari kediaman masing-masing.
- Cuaca panas melebihi 40°C dan angin kencang memburukkan kebakaran, terutama di Sicily yang berlarutan beberapa hari.
- Kira-kira 6,000 petugas dikerah dengan pesawat air; bomba lapor keletihan, kekurangan kelengkapan dan dakwaan khianat di beberapa kawasan.
Setakat ini, situasi tersebut meragut nyawa tiga anggota bomba serta memaksa ribuan penduduk dipindahkan dari kediaman masing-masing.
Cuaca panas melampau dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius berserta tiupan angin kencang memburukkan lagi keadaan, terutamanya di Pulau Sicily, Itali yang menyaksikan kebakaran telah berlarutan selama beberapa hari.
Ketua Wilayah Sicily, Renato Schifani mengesahkan kira-kira 6,000 anggota bomba, pengawal hutan dan pegawai perlindungan awam dikerah bagi memadamkan api yang masih marak di 50 lokasi berbeza dengan bantuan pesawat pengangkut air.
Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Piantedosi juga memaklumkan seorang anggota bomba meninggal dunia selepas mengalami masalah kesihatan ketika bertugas memadamkan kebakaran.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan di wilayah jiran, Calabria, mendakwa lebih 160 insiden kebakaran di kawasan mereka berpunca daripada perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Di Perancis, dua anggota bomba terkorban pada Selasa ketika memadam kebakaran berhampiran Lapangan Terbang Bordeaux.
Pihak kesatuan bomba kini memberi amaran bahawa para petugas berdepan kelesuan dan kekurangan sumber kelengkapan.
Kebakaran di wilayah Gironde telah memusnahkan lebih 1,400 hektar hutan tebal di kawasan Arcachon Basin.
Lebih 4,600 penduduk dan pelancong termasuk 3,000 pengunjung tapak perkhemahan di Le Porge diarah berpindah sebagai langkah berwaspada.
“Kami sedang berdepan dengan kawasan padat pokok pinus. Kebakaran ini amat luar biasa,” kata Pegawai Bomba Wilfried Schneider.
Di Sepanyol, pihak berkuasa mengarahkan pemindahan penduduk di beberapa daerah sekitar bandar bersejarah Toledo, kira-kira 75 kilometer di selatan Madrid, selepas api yang marak mengancam kawasan perumahan.- AFP