
TOKYO, 20 Januari – Jepun menerima 42.7 juta pelancong pada 2025.
- Jumlah pelancong dari China merosot ketara pada Disember susulan ketegangan diplomatik antara Beijing dan Tokyo.
- Penurunan dikaitkan dengan kenyataan Perdana Menteri Sanae Takaichi mengenai kemungkinan campur tangan ketenteraan bagi mempertahankan Taiwan.
- Penurunan pelancong China diimbangi oleh peningkatan pengunjung dari Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.
Jumlah berkenaan melebihi rekod hampir 37 juta pada 2024 meskipun jumlah pengunjung dari China merosot pada Disember akibat ketegangan diplomatik antara Beijing dan Tokyo.
Kementerian Pengangkutan berkata penurunan itu berpunca daripada kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi mengenai kemungkinan campur tangan ketenteraan Jepun sekiranya Taiwan diserang,
Kenyataan itu mencetuskan amaran dari China yang kemudiannya menggesa supaya rakyatnya mengelak dari melancong ke Jepun.
Jumlah pelancong China pada Disember merosot kira-kira 45% kepada 330,000.
Namun, kemerosotan tersebut berjaya ditampung oleh peningkatan pelancong dari Eropah, Amerika Syarikat dan Australia, kata Menteri Pengangkutan Yasushi Kaneko.
China bagaimanapun kekal sebagai sumber pelancong utama ke Jepun, dengan hampir 7.5 juta pengunjung dalam sembilan bulan pertama 2025 iaitu satu perempat daripada jumlah pelancong asing.
Kerajaan Jepun menetapkan sasaran 60 juta pelancong setahun menjelang 2030. – AFP