Israel serang bandar Tyre di selatan Lubnan

Foto REUTERS

BEIRUT, 9 Jun – Serangan terbaharu Israel di bandar Tyre, selatan Lubnan pada Isnin telah memusnahkan sebuah kereta, menurut laporan media kerajaan negara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pejuang Hizbullah kata mereka menyasarkan tentera Zionis di Lubnan, namun tidak mengaku melancarkan serangan ke atas wilayah Israel.
  • Iran memberi amaran akan menyambung semula serangannya jika Israel terus menyerang Lubnan.
  • Kementerian Kesihatan Lubnan lapor tujuh terbunuh termasuk seorang kanak-kanak Syria dan seorang wanita dalam serangan di Zifta, Nabatieh.
  • Pengeboman dilaporkan merosakkan tapak Warisan Dunia UNESCO di bandar Tyre; NNA juga catat serangan di Burj al-Shemali.

Pada masa sama, pejuang Hizbullah berkata pihaknya telah menyasarkan tentera Zionis di Lubnan, namun tidak menyatakan melakukan sebarang serangan ke atas wilayah negara haram berkenaan.

Iran telah memberi amaran bahawa ia akan menyambung semula serangannya jika Israel terus menyerang Lubnan, namun para pemimpin Zionis pada Isnin berdegil tidak akan berundur daripada tindakan berkenaan.

Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan bahawa satu serangan udara musuh telah menyasarkan sebuah kereta dengan peluru berpandu di bandar Tyre, berhampiran bangunan Palang Merah Lubnan.

Api marak daripada sebuah kereta di jalan pesisir pantai ketika penduduk berkumpul di lokasi kejadian, manakala ambulans dan pasukan paramedik bergegas ke tempat tersebut.

Palang Merah Lubnan kemudian memaklumkan bahawa empat anggota paramedik cedera akibat serpihan kaca yang terhasil daripada letupan serangan itu.

NNA berkata tentera Zionis telah menyerang berbelas lokasi di selatan Lubnan termasuk Burj al-Shemali yang terletak berhampiran Tyre.

Kementerian Kesihatan Lubnan turut memaklumkan bahawa tujuh orang, termasuk seorang kanak-kanak warga Syria dan seorang wanita terbunuh dalam serangan pada waktu subuh di bandar Zifta dalam daerah Nabatieh.

Sementara itu, seorang pegawai Kementerian Kebudayaan Lubnan pula berkata bahawa pengeboman Israel ke atas bandar Tyre sehari sebelumnya telah menyebabkan kerosakan kepada sebuah tapak Warisan Dunia UNESCO di bandar itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.