IRGC sedia hadapi sebarang serangan baharu AS, lancar serangan balas

Foto fail REUTERS

TEHRAN, 24 Julai – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menegaskan pihaknya bersedia sepenuhnya menghadapi sebarang serangan susulan Amerika Syarikat (AS) menerusi beberapa pelan kontingensi yang telah dirangka bagi menghadapi pelbagai kemungkinan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan udara AS menimbulkan letupan di Kermanshah, Khuzestan, Bushehr; Shalamcheh: 2 maut, 11 cedera.
  • IRGC melancarkan serangan balas ke pangkalan AS di Jordan dan Kuwait, mendakwa korban dan kerosakan besar terhadap aset ketenteraan.
  • Kementerian Kesihatan Iran: serangan udara AS sejak 27 Jun mengorbankan 55 orang dan mencederakan 629.
  • IRGC menghalang tiga kapal tangki melalui Selat Hormuz; sebuah meletup, dua berpatah balik.

Kenyataan itu dibuat selepas tentera AS melancarkan satu lagi siri serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran pada Khamis malam, sekali gus menjadikan operasi berkenaan memasuki malam ke-13 berturut-turut, menurut Pusat Pemerintahan Amerika Syarikat (CENTCOM).

Media Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di beberapa wilayah, termasuk Kermanshah, Khuzestan dan Bushehr, susulan serangan udara tersebut.

Di wilayah Khuzestan, yang terletak di barat daya Iran, satu serangan peluru berpandu berhampiran terminal penumpang di Shalamcheh, di sempadan Iran-Iraq, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang manakala 11 lagi cedera.

Beberapa letupan turut dilaporkan berlaku di Pulau Qeshm, berhampiran Selat Hormuz, iaitu laluan perkapalan strategik yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak dunia.

Sebagai tindak balas, IRGC memaklumkan pihaknya melancarkan serangan terhadap pangkalan dan aset tentera AS di Jordan serta Kuwait yang didakwa mengakibatkan korban dalam kalangan anggota tentera selain kerosakan besar terhadap aset ketenteraan negara itu.

Menurut IRGC, pasukan Iran turut memusnahkan satu unit khas peperangan elektronik Tentera Darat AS di Kem Al-Adiri, Kuwait, selain merosakkan menara arahan dan kawalan pangkalan berkenaan.

Sumber ketenteraan Iran pula memaklumkan negara itu telah menyediakan pelbagai pilihan tindak balas bagi menghadapi setiap kemungkinan, termasuk sekiranya AS melancarkan pencerobohan darat.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menerusi hantaran di platform X menegaskan bahawa Iran akan mengamalkan doktrin pertahanan “mata dibalas mata”.

Beliau berkata, sebarang bentuk pencerobohan terhadap Iran, termasuk serangan ke atas infrastruktur negara itu, akan menerima tindak balas yang tegas dan berkesan.

Dalam perkembangan berkaitan, IRGC memaklumkan pihaknya turut menghalang tiga kapal tangki minyak daripada melalui Selat Hormuz pada Khamis.

Menurut kenyataan IRGC, ketiga-tiga kapal tangki itu cuba melalui laluan yang dipasang periuk api di bahagian selatan Selat Hormuz. Sebuah daripada kapal berkenaan meletup sebelum terbakar, manakala dua lagi berpatah balik.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Iran memaklumkan serangan udara AS sejak 27 Jun telah mengorbankan 55 orang dan mencederakan 629 yang lain. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.