ICRC bimbang ramai petugas perubatannya maut diserang tentera Zionis

Kenderaan Palang Merah Lubnan yang rosak akibat serangan tentera Zionis/Foto REUTERS 

GENEVA, 14 April – Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyatakan kebimbangan mendalam terhadap serangan ke atas petugas perubatan di Lubnan selepas satu serangan maut di pusat Palang Merah negara itu pada Isnin serta kematian seorang sukarelawan sehari sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan oleh tentera Zionis mengorbankan seorang dan merosakkan kenderaan Palang Merah Lubnan.
  • Serangan turut melibatkan pusat Palang Merah Lubnan di daerah Tyre, menurut laporan.
  • Sukarelawan Hassan Badawi meninggal akibat kecederaan selepas serangan dron di Bint Jbeil.
  • Badawi dikebumikan di Choueifat kerana kampung halamannya tidak dapat diakses akibat pertempuran sengit.

Agensi berita rasmi Lubnan melaporkan bahawa serangan dilakukan oleh Zionis itu telah mengorbankan seorang individu dan merosakkan kenderaan Palang Merah Lubnan.

ICRC berkata bahawa serangan melibatkan pusat Palang Merah Lubnan di daerah Tyre namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai mangsa.

Pada Ahad lalu, Palang Merah Lubnan memaklumkan bahawa salah seorang sukarelawannya, Hassan Badawi, meninggal dunia akibat kecederaan selepas satu serangan dron Zionis di daerah Bint Jbeil di selatan negara itu.

Badawi telah menjadi sukarelawan Palang Merah Lubnan sejak tahun 2022, menurut rakannya Ahmed Qassam semasa majlis pengebumian pada Isnin.

Beliau dikebumikan di kubur sementara di Choueifat, selatan Beirut, berikutan kampung halamannya di Sultaniyah dalam daerah Bint Jbeil tidak dapat dimasuki akibat pertempuran sengit di kawasan tersebut.

Tentera Zionis pada Isnin melancarkan serangan untuk menawan bandar sempadan penting di selatan Lubnan. – REUTERS