Hubungan London-Washington retak, Trump selar Starmer gagal bantu sekutu

Foto AFP

LONDON, 15 April– Hubungan diplomatik antara Washington dan London kini berada dalam fasa kritikal selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk membatalkan perjanjian perdagangan khas dengan United Kingdom (UK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Keengganan Keir Starmer menyokong tindakan ketenteraan AS selepas Britain melarang penggunaan pangkalan tenteranya bagi serangan.
  • Trump sifatkan perjanjian perdagangan Britain "terlalu baik" dan menegaskan ia boleh diubah jika Britain enggan bantu AS.
  • Kerajaan Parti Buruh balas dengan bahasa keras, menyelar tindakan Trump dan menyifatkan retoriknya sebagai melampau.
  • Trump jamin krisis ini tidak akan ganggu lawatan negara Raja Charles III ke Amerika Syarikat penghujung April.

Ancaman tersebut dibuat sebagai tindak balas terhadap keengganan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer untuk menyokong penuh tindakan ketenteraan AS dalam peperangan dengan Iran, khususnya selepas Britain melarang penggunaan pangkalan tenteranya bagi serangan awal bulan lalu.

Trump menyifatkan perjanjian yang mengehadkan tarif barangan Britain kepada 10 peratus itu sebagai “terlalu baik” dan menegaskan ia boleh diubah pada bila-bila masa sekiranya Britain terus enggan memberikan bantuan yang diperlukan.

Ketegangan itu semakin meruncing apabila kerajaan pimpinan Parti Buruh mula membalas kritikan tersebut dengan bahasa yang lebih keras.

Menteri Kewangan Britain, Rachel Reeves, secara terbuka menyelar tindakan Trump melancarkan perang tanpa pelan keluar yang jelas sebagai satu “kebodohan” manakala beberapa menteri lain menyifatkan retorik Presiden AS itu sebagai melampau.

Meskipun pertikaian berkenaan menjejaskan hubungan antara kedua-dua sekutu NATO tersebut, Trump memberi jaminan bahawa krisis politik itu tidak akan mengganggu lawatan negara Raja Charles III ke Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan berlangsung pada penghujung April ini.

Konflik tersebut kini menjadi tumpuan utama pemerhati global memandangkan kedudukan Britain sebagai sekutu sejarah paling akrab bagi AS. -AFP