
BRUSSELS, 15 April– Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada Rabu memaklumkan bahawa aplikasi pengesahan umur Kesatuan Eropah (EU) untuk platform dalam talian sudah siap dan bakal dilancarkan tidak lama lagi.
- EU tegas menguatkuasakan peraturan untuk memastikan platform dalam talian memikul tanggungjawab sepenuhnya.
- Aplikasi pengesahan umur alat berkuasa bagi ibu bapa, guru dan penjaga melindungi kanak-kanak; EU tidak bertoleransi terhadap syarikat ingkar.
- EU akan mewujudkan mekanisme penyelarasan Eropah untuk pelaksanaan pengesahan umur konsisten dalam skim nasional setiap negara anggota.
Langkah tersebut diambil ketika negara-negara anggota mula mempergiatkan rancangan masing-masing untuk menyekat akses media sosial kepada kanak-kanak.
“Pihak blok sedang bergerak dengan penuh tekad dalam menguatkuasakan peraturan Eropah bagi memastikan platform dalam talian memikul tanggungjawab sepenuhnya,” tegas von der Leyen dalam dalam satu sidang akhbar di Brussels bersama Ketua Digital EU, Henna Virkkunen.
Beliau menyifatkan aplikasi tersebut sebagai alat yang berkuasa bagi ibu bapa, guru dan penjaga untuk melindungi kanak-kanak, sambil memberi amaran keras bahawa EU tidak akan bertoleransi dengan syarikat yang gagal menghormati hak golongan muda.
Bagi menyokong pelaksanaan berkenaan, Virkkunen menambah bahawa EU bakal mewujudkan mekanisme penyelarasan Eropah untuk memastikan sistem pengesahan umur tersebut dilaksanakan secara konsisten dalam skim nasional di setiap negara anggota.
Inisiatif itu menandakan fasa baharu dalam usaha EU untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan terkawal bagi generasi akan datang. -REUTERS