Hubungan Afghanistan, Pakistan tegang

KABUL, 12 Oktober – Ketegangan antara Kabul dan Islamabad kian memuncak apabila tentera kedua-dua negara saling berbalas serangan dalam pertempuran sengit di sempadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketegangan antara Kabul dan Islamabad meningkat selepas pertempuran sempadan melibatkan tentera kedua-dua negara.
  • Angka korban dipertikaikan: Afghanistan dan Pakistan mengeluarkan statistik korban yang bertentangan.
  • Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengancam tindak balas dan menuduh Taliban benarkan serangan dari wilayah Afghanistan.
  • Qatar dan Arab Saudi campur tangan diplomatik; kedua-dua pihak dikatakan menghentikan serangan selepas gesaan.

Ketika ini tiada laporan yang jelas berhubung angka kematian dan kecederaan apabila tentera Afghanistan dan Pakistan mengeluarkan statistik berbeza.

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, mendakwa 58 tentera Pakistan terbunuh dan 30 lagi cedera, manakala sembilan anggota Taliban turut terkorban dalam pertempuran tersebut.

Manakala tentera Pakistan melaporkan seramai 23 tenteranya maut dan lebih 200 anggota Taliban serta kumpulan sekutu mereka terbunuh.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengecam tindakan provokasi tersebut dan menegaskan negaranya akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman.

Beliau menuduh Taliban membenarkan wilayah Afghanistan digunakan oleh kumpulan pengganas untuk melancarkan serangan terhadap Pakistan.

Dalam pada itu, Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi, yang kini berada di India, berkata operasi yang dijalankan te;ah berjaya mencapai matlamat dan kini serangan dihentikan sepenuhnya selepas Qatar dan Arab Saudi menggesa kedua-dua pihak menghentikan pertempuran.