Harga petrol AS kembali cecah AS$4 segelen susulan konflik Asia Barat

Harga purata petrol di Amerika Syarikat kembali mencecah AS$4 segelen susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat/Foto AFP

WASHINGTON, 20 Julai – Harga purata petrol di Amerika Syarikat (AS) kembali mencecah AS$4 (RM16.96) segelen susulan konflik yang semakin memuncak antara Washington dan Tehran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketegangan antara AS dan Tehran meningkat; Iran anggapnya sebagai "perang berskala penuh" dan kedua pihak meningkatkan serangan.
  • Kenaikan harga minyak mentah global akibat konflik menambah kos bahan api di Amerika Syarikat.
  • Perkembangan memberi tekanan politik kepada Presiden Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal; rundingan diplomatik masih diteruskan.

Menurut Kelab Automobil Amerika (AAA), kenaikan itu berlaku ketika Iran menyifatkan konflik dengan AS sebagai “perang berskala penuh”, dengan kedua-dua pihak terus meningkatkan serangan.

Perkembangan itu dijangka memberi tekanan politik kepada Presiden AS, Donald Trump, menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November, apabila kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama pengundi.

Harga petrol di AS sebelum ini melepasi paras AS$4 segelen pada Mac selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran mencetuskan tindakan balas Tehran yang hampir menutup Selat Hormuz, laluan utama perdagangan tenaga dunia.

Kenaikan harga minyak mentah global susulan konflik itu turut meningkatkan kos bahan api di Amerika Syarikat.

Sebelum ini, kali terakhir harga petrol melepasi paras AS$4 segelen ialah pada 2022 selepas Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Harga purata petrol di AS pada tempoh sama tahun lalu ialah AS$3.14 segelen.

Harga bahan api sempat menurun di bawah paras AS$4 susulan persetujuan sementara antara Washington dan Tehran, namun kembali meningkat selepas konflik tercetus semula.

Pegawai Iran memaklumkan rundingan diplomatik dengan Amerika Syarikat melalui pihak pengantara masih diteruskan meskipun pertempuran berterusan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.