Iran sahkan terima cadangan pengantara, enggan dedah perincian

Esmaeil Baghaei/ REUTERS

TEHRAN, 21 Julai Cadangan daripada beberapa pihak pengantara berhubung konflik dengan Amerika Syarikat (AS) telah disampaikan kepada Tehran, namun Iran enggan mendedahkan butiran lanjut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha diplomatik Iran kekal aktif; matlamat utama melindungi kepentingan negara melalui pertahanan, diplomasi atau gabungan kedua-duanya.
  • Iran memberi amaran tindak balas jika AS melakukan pencerobohan darat terhadap negara itu.
  • Baghaei mendesak IAEA mengecam serangan AS ke atas fasiliti nuklear Darkhoveyn dan mengecam kemusnahan infrastruktur awam.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, usaha diplomatik negara itu kekal aktif meskipun konflik berterusan.

“Kami telah menerima cadangan yang dikemukakan oleh beberapa pengantara. Bagaimanapun, saya tidak mahu mengulas lanjut mengenainya pada peringkat ini.

“Apa yang boleh saya sahkan ialah sepanjang tempoh ini, usaha diplomatik kami kekal aktif dan beberapa cadangan serta idea daripada pelbagai pengantara telah disampaikan kepada kami,” katanya pada sidang media di Tehran, pada Isnin.

Menurut Baghaei, matlamat utama adalah untuk melindungi kepentingan Iran, sama ada melalui pertahanan, diplomasi atau gabungan kedua-duanya.

Pada masa sama beliau turut memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan darat yang dilakukan AS ke atas negara itu akan menerima tindak balas.

Dalam perkembangan sama, Baghaei menggesa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengecam serangan AS terhadap fasiliti nuklear Darkhoveyn yang masih dalam pembinaan.

Menurutnya, serangan itu merupakan pelanggaran jelas terhadap prinsip serta peraturan undang-undang antarabangsa berkaitan usaha mencegah percambahan senjata nuklear.

“Sebagai sebuah negara yang menjadi pihak kepada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), Iran menjangkakan Lembaga Gabenor IAEA serta Ketua Pengarah agensi itu menyatakan pendirian secara jelas dengan mengecam tindakan AS,” katanya.

Beliau turut mengecam serangan terhadap infrastruktur awam termasuk kemudahan perubatan, jambatan dan fasiliti penting yang menjadi keperluan harian rakyat.

“Tidak ada alasan politik atau ketenteraan yang boleh menghalalkan penderitaan seorang kanak-kanak yang menunggu rawatan di hospital atau kesengsaraan sebuah keluarga akibat kemusnahan jambatan utama di bandar mereka.

“Ini bukan sekadar serangan terhadap bangunan, sebaliknya luka terhadap hati nurani rakyat Iran,” katanya.

Sementara itu, tentera AS dilaporkan melancarkan serangan ke atas Iran untuk hari kesembilan berturut-turut setakat Isnin, ketika kebimbangan terhadap keselamatan pelayaran di Selat Hormuz meningkat selepas Iran memaklumkan dua kapal tangki minyak meletup dan tidak dapat meneruskan pelayaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu balistik sebagai serangan balas ke atas pesawat tentera AS di Lapangan Terbang Aqaba, Jordan, selain menyasarkan aset dan kelengkapan tentera AS di Kem Al-Adiri dan Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait serta beberapa lokasi di Syria.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.