Hujan lebat luar biasa, Chile isytihar darurat bencana

Keadaan di Chile selepas dilanda hujan lebat/ REUTERS

SANTIAGO, 21 Julai – Chile mengisytiharkan darurat bencana di bahagian utara tengah negara itu pada Isnin susulan hujan lebat luar biasa yang mengorbankan lima nyawa serta mengakibatkan kerosakan infrastruktur.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman di wilayah Coquimbo memaparkan banjir dan kerosakan terhadap kemudahan awam.
  • Gangguan bekalan air bersih, bekalan elektrik dan penutupan jalan raya dilaporkan.
  • SENAPRED merekod hampir 20 milimeter hujan dalam sejam, setara purata taburan bagi sebulan.
  • Kerajaan wilayah menggesa penduduk kekal di rumah, bomba, polis dan tentera digerakkan bagi operasi tindak balas.

Rakaman di wilayah Coquimbo memaparkan kejadian banjir selain kerosakan terhadap pelbagai kemudahan awam.

Kerajaan Chile memaklumkan, gangguan bekalan air bersih, bekalan elektrik serta penutupan jalan raya sekali gus mendorong kepada pengisytiharan darurat bencana.

Langkah khas dilaksanakan dalam situasi luar biasa itu membolehkan pihak berkuasa mengenakan sekatan tertentu dan mengambil tindakan segera bagi menangani bencana.

Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (SENAPRED) memaklumkan, antara pukul 8.00 malam hingga 9.00 malam waktu tempatan pada Ahad, wilayah Coquimbo merekodkan hampir 20 milimeter hujan, iaitu jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan.

Agensi itu menyifatkan keadaan berkenaan sebagai hujan luar biasa dan ekstrem.

Sementara itu, antara Sabtu hingga Ahad, Coquimbo merekodkan taburan hujan terkumpul maksimum sebanyak 84.9 milimeter di sebuah stesen pemantauan, kedua tertinggi selepas wilayah Atacama yang mencatatkan 102.2 milimeter.

Perkhidmatan Meteorologi Chile (MeteoChile) memaklumkan cuaca hujan dijangka berterusan, khususnya di Coquimbo, dengan episod hujan lebat dijangka berlaku sehingga Selasa.

Kerajaan wilayah turut menggesa penduduk supaya kekal berada di rumah, manakala anggota bomba, polis Carabineros de Chile dan tentera digerakkan bagi membantu operasi tindak balas.

Beberapa wilayah di Chile telah diletakkan pada bawah amaran cuaca sejak minggu lalu susulan sistem cuaca yang diperkukuh oleh fenomena El Nino.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.