
LONDON, 21 Julai – Jordan, Kuwait dan Bahrain berjaya memintas serangan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Iran pada Isnin, ketika konflik di Asia Barat terus memuncak.
- Angkatan Tentera Jordan: sistem pertahanan udara memintas tiga peluru berpandu; tiada kecederaan atau kerosakan harta benda.
- Bahrain: sistem pertahanan udara memusnahkan beberapa serangan udara; mengecam Iran atas tindakan bermusuhan dan pelanggaran undang-undang kemanusiaan.
- Kuwait: sistem pertahanan memintas peluru berpandu dan dron; letupan disahkan berpunca daripada tindakan pertahanan; orang ramai diminta patuhi arahan keselamatan.
- IRGC dakwa menyerang aset AS di Kuwait dan Jordan sebagai tindak balas; Iran isytihar 'perang berskala penuh' namun diplomasi kekal terbuka.
Angkatan Tentera Jordan dalam kenyataan memaklumkan sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas tiga peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.
Bagaimanapun iinsiden berkenaan tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Jordan turut memaklumkan pihaknya kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan akan bertindak tegas terhadap sebarang ancaman yang menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Bahrain memaklumkan sistem pertahanan udara berjaya memintas dan memusnahkan beberapa serangan udara Iran yang menyasarkan negara itu.
Bahrain turut mengecam tindakan Iran yang disifatkan sebagai pendekatan bermusuhan secara sistematik, selain mendakwa penggunaan peluru berpandu dan dron bagi menyasarkan orang awam serta harta benda persendirian melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Di Kuwait pula, angkatan tenteranya memaklumkan sistem pertahanan udara negara itu turut memintas serangan peluru berpandu dan dron yang disifatkan sebagai ancaman, susulan beberapa letupan kedengaran di beberapa kawasan.
Menerusi kenyataan di platform X, Angkatan Tentera Kuwait mengesahkan letupan tersebut berpunca daripada tindakan sistem pertahanan udara memintas serangan berkenaan, selain menggesa orang ramai mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Terdahulu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan telah melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas aset serta kemudahan milik Amerika Syarikat di Kuwait dan Jordan sebagai tindak balas terhadap siri serangan udara berterusan Washington ke atas Iran.
Serangan terbaharu di Kuwait dilaporkan menyasarkan pemasangan ketenteraan serta beberapa infrastruktur kritikal termasuk kemudahan minyak, loji janakuasa dan loji penyahgaraman air, yang mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta benda.
Sementara itu, beberapa letupan turut dilaporkan berlaku pada Isnin malam di wilayah selatan Iran iaitu Hormozgan dan Fars.
Agensi berita Mehr melaporkan beberapa letupan didengari di Daerah Sirik, Hormozgan, namun punca kejadian masih belum dapat dipastikan.
Timbalan Gabenor Wilayah Fars bagi Hal Ehwal Politik, Keselamatan dan Sosial, Seyed Ahmad Ahmadizadeh pula mendakwa Amerika Syarikat melancarkan serangan udara ke atas kawasan di ibu negeri Shiraz, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Terdahulu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengisytiharkan negara itu kini berdepan “perang berskala penuh” dengan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, Tehran telah menerima beberapa cadangan pengantaraan dan masih mengekalkan saluran diplomatik yang terbuka.
Sejak minggu lalu, Amerika Syarikat melancarkan beberapa serangan ke atas wilayah selatan Iran dengan alasan bagi melemahkan keupayaan Tehran mengancam laluan perkapalan komersial.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan serta kemudahan ketenteraan Amerika Syarikat di beberapa negara rantau itu, termasuk Kuwait, Bahrain dan Jordan.- REUTERS