
DHAKA, 19 April – Ratusan pemandu di Dhaka terpaksa beratur panjang di stesen minyak susulan kenaikan harga bahan api hampir 15 peratus, sekali gus menjejaskan kehidupan harian dan sektor pertanian.
- Harga petrol mencecah 135 taka (kira-kira RM5.90) seliter, manakala diesel 115 taka (kira-kira RM5.00) seliter.
- Kenaikan harga meningkatkan kos pengangkutan dan pengeluaran makanan, menjejaskan harga barangan asas.
- Petani terjejas kerana kos baja dan operasi meningkat, mengurangkan pulangan musim tanaman dan akuakultur.
- Punca termasuk kenaikan harga minyak global, gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik; kerajaan laksana catuan dan sekatan jualan diesel.
Kenaikan itu menyaksikan harga petrol mencecah 135 taka (kira-kira RM4.30) seliter, manakala diesel 115 taka (kira-kira RM3.70), sekali gus meningkatkan kos pengangkutan dan pengeluaran makanan.
Petani, Animesh Mojumder berkata kenaikan harga bahan api memberi kesan besar kepada sektor pertanian, khususnya musim tanaman dan akuakultur.
“Kos baja dan operasi meningkat, kami akan menanggung kerugian,” katanya.
Seorang pemandu, Sharafat Hossain berkata kenaikan harga minyak akan menyebabkan harga barangan asas turut meningkat.
“Apabila kos pengangkutan naik, harga makanan seperti sayur, beras dan daging juga akan meningkat,” katanya.
Seorang lagi pemandu, Antar Biswas berkata keadaan semakin sukar apabila bekalan bahan api masih terhad walaupun harga meningkat.
“Kami terpaksa tukar hasil tanaman untuk dapatkan bahan api. Keadaan sangat mencabar,” katanya.
Kerajaan Bangladesh dilaporkan menaikkan harga bahan api susulan peningkatan kos import akibat harga minyak mentah global yang melonjak, gangguan rantaian bekalan serta kos penghantaran dan insurans.
Negara itu yang mengimport kira-kira 95 peratus minyaknya kini berdepan risiko tinggi apabila laluan utama seperti Selat Hormuz terganggu.
Bagi mengawal situasi, pihak berkuasa melaksanakan catuan bahan api, sekatan jualan diesel serta pengurangan waktu operasi.
Krisis ini turut dipengaruhi ketegangan geopolitik di Asia Barat susulan operasi ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang menjejaskan pasaran tenaga global.