Harga LPG naik mendadak di Dhaka cetus pembelian panik

Harga silinder LPG 12 kilogram meningkat sebanyak 387 taka (RM16.50)/Foto VIORY

DHAKA, 4 April – Penduduk di ibu negara Bangladesh beratur panjang bagi mendapatkan bekalan gas memasak susulan kenaikan mendadak harga LPG.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan harga LPG menambah beban kos sara hidup, memberi tekanan kepada pengguna.
  • Permintaan tinggi menyebabkan bekalan tidak mencukupi; pembekal hanya mampu memenuhi sebahagian keperluan.
  • Kenaikan dikaitkan dengan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan.

Situasi itu mencetuskan pembelian panik apabila orang ramai bimbang bekalan akan berkurangan dalam tempoh terdekat.

Harga silinder LPG 12 kilogram meningkat sebanyak 387 taka (RM16.50), sekali gus menambah tekanan kepada kos sara hidup.

Penduduk mendakwa permintaan tinggi menyebabkan bekalan tidak mencukupi, dengan sesetengah pembekal hanya mampu memenuhi sebahagian keperluan harian.

“Semua orang risau sama ada masih boleh dapat LPG selepas ini,” kata seorang penduduk.

Ada juga yang mempersoalkan kenaikan harga mendadak sehingga mencecah sekitar 2,000 taka (RM85) bagi satu silinder.

Kenaikan ini dikaitkan dengan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan dan harga bahan api dunia. – VIORY