
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Belgium berharap Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang kini dalam proses dimuktamadkan, akan membuka lebih banyak peluang perdagangan baharu selain memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.
- Usaha pemuktamadan FTA kekal keutamaan bagi EU dan Belgium.
- Prévot buat lawatan kerja dua hari, lawatan rasmi pertama sejak memegang jawatan pada Februari 2025.
- Rundingan MEUFTA dijangka dimuktamadkan dalam beberapa bulan atau menjelang 2027.
- Agenda termasuk kerjasama tenaga boleh diperbaharui, nadir bumi, industri halal, hubungan Malaysia-EU dan perkembangan serantau serta antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Hal Ehwal Eropah dan Pembangunan Koperasi Belgium Maxime Prévot berkata usaha pemuktamadan FTA itu kekal menjadi keutamaan bagi Kesatuan Eropah (EU) dan Belgium.
“(FTA) itu bakal membuka pintu (peluang) untuk lebih banyak peluang bagi pertukaran dan perdagangan baharu sambil menyokong pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua pihak,” kata beliau kepada Bernama, hari ini.
Prévot dan delegasinya berada di Malaysia bagi lawatan kerja dua hari mulai hari ini yang juga merupakan kunjungan pertama beliau sejak menggalas jawatan itu pada Februari 2025.
Mengulas selanjutnya, Prévot juga menjangkakan FTA itu dapat mengekalkan pembangunan kedua-dua rantau terbabit.
Rundingan MEUFTA itu dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh beberapa bulan atau menjelang 2027.
Selain itu, Prévot berkata Belgium adalah sebuah ekonomi terbuka dengan sektor eksport menyumbang kira-kira 85 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun merupakan sebuah negara kecil dengan 11.77 juta orang penduduk.
Dalam pada itu, antara agenda Prévot hari ini adalah menemui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Kedua-dua pihak dijangka membincangkan kerjasama dalam tenaga boleh baharu, unsur nadir bumi dan industri halal, perhubungan Malaysia-EU selain perkembangan serantau dan antarabangsa.
Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Belgium mencecah RM9.74 bilion pada 2025 yang merangkumi RM6.85 bilion bagi eksport Malaysia manakala import RM2.89 bilion.
Bagi tempoh setakat 2025, sebanyak 67 projek membabitkan penyertaan Belgium telah diluluskan yang mewakili pelaburan RM5.1 bilion selain berpotensi mewujudkan sebanyak 4,605 pekerjaan.- BERNAMA