EU kecam tindakan AS kenakan tarif baharu ke atas Greenland

Greenland terus ditekan oleh Amerika Syarikat menerusi kadar tarif yang tidak menentu/Reuters

STRASBOURG, 21 Januari – Presiden Suruhanjaya Eropah (EU), Ursula von der Leyen mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif baharu ke atas Greenland.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ursula von der Leyen mengecam tarif AS ke atas Greenland sebagai ancaman dan salah sepenuhnya.
  • EU berpendapat langkah paksaan AS menjejaskan kedaulatan Greenland serta melanggar undang-undang antarabangsa.
  • Antonio Costa bimbang tarif lebih tinggi akan merosakkan hubungan transatlantik dan melanggar perjanjian sedia ada.
  • EU berikrar mempertahankan kepentingan blok dan menentang pelanggaran undang-undang antarabangsa di mana-mana.

Beliau menyifatkan tindakan AS itu sebagai ancaman dan ‘salah sepenuhnya’, selain menegaskan langkah paksaan tersebut akan menjejaskan kedaulatan Greenland serta mencabul undang-undang antarabangsa.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen

Ursula berkata demikian ketika berucap di parlimen Perancis.

Dalam ucapan sama, beliau menyeru kebebasan penuh EU dan perpaduan yang lebih meluas, selain menggariskan rancangan pelaburan yang besar di Greenland bagi menyokong sektor ekonomi serta infrastruktur negara tersebut.

Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa

Nada sama turut dilontarkan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dengan menyuarakan kebimbangan bahawa tarif lebih tinggi yang dikenakan AS hanya akan merosakkan hubungan transatlantik dan melanggar perjanjian sedia ada.

Costa menekankan keperluan penglibatan membina dengan Washington, namun mahu EU mempertahankan kepentingan blok tersebut daripada sebarang bentuk paksaan.

EU jelas beliau, tidak akan menerima sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa di mana-mana sahaja, sama ada di Ukraine, Greenland, Amerika Latin, Afrika atau di Gaza.

AS mengancam untuk mengenakan tarif yang lebih tinggi ke atas enam negara EU dan negara-negara lain Sabtu lalu, bertujuan menekan kesatuan tersebut agar membenarkan akses Washington ke atas Greenland.

Bagaimanapun, penguatkuasaan tarif demikian adalah rumit disebabkan pergerakan barangan yang bebas dalam EU dan peraturan asal yang dipersetujui menerusi perjanjian sebelum ini.-Reuters