
ISTANBUL, 21 Januari – Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Selasa menolak dakwaan Israel mengenai pemilikan kompleks Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, dengan menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai hak undang-undang ke atas tapak berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.
- UNRWA menafikan tuntutan Israel bahawa ia memiliki kompleks Sheikh Jarrah dan menyifatkannya sebagai palsu serta menyalahi undang-undang.
- UNRWA menyewa tanah itu dari Jordan sejak 1952 dan tiada pemindahan hak milik pernah berlaku; tindakan sekarang dianggap rampasan haram.
- Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Perhimpunan Agung PBB anggap kehadiran Israel di Baitulmuqaddis Timur tidak sah dan mesti dihentikan.
Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini dalam satu hantaran di platform media sosial X berkata, Israel tidak memiliki atau mempunyai hak ke atas kompleks berkenaan, sekali gus menolak dakwaan yang disifatkannya sebagai ‘palsu dan menyalahi undang-undang’.
UNRWA telah menyewa tanah itu daripada Kerajaan Jordan sejak 1952 dan ‘tiada pemindahan hak milik’ pernah berlaku, kata Lazzarini sambil menambah bahawa tindakan semasa itu dianggap sebagai rampasan yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Perhimpunan Agung PBB telah menetapkan bahawa kehadiran Israel di Baitulmuqaddis Timur adalah tidak sah dan ‘mesti dihentikan secepat mungkin’.
Israel tidak mempunyai hak kedaulatan di Wilayah Palestin yang Diduduki dan pelaksanaan undang-undangnya di sana adalah menyalahi undang-undang,” kata Lazzarini.
Bulan lepas, Parlimen Israel, Knesset meluluskan undang-undang untuk memotong bekalan elektrik dan air ke premis UNRWA di Baitulmuqaddis Timur.
Israel sebelum ini telah mengambil langkah yang sama terhadap agensi itu.
Pada 2024, Knesset meluluskan undang-undang yang melarang aktiviti UNRWA di Israel, dengan memetik dakwaan bahawa beberapa pekerja agensi itu terlibat dalam peristiwa 7 Oktober 2023.
Agensi itu bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan, manakala PBB menyatakan bahawa UNRWA mematuhi piawaian berkecuali yang ketat.-BERNAMA