
STRASBOURG, 17 September – Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak berusia bawah 13 tahun menerusi pelan baharu bagi memperkukuh perlindungan golongan itu di platform dalam talian.
- Akaun usia 13 hingga 15 hanya dibenar jika dipantau ibu bapa atau penjaga, ciri terhad dan maksimum satu jam sehari.
- Platform utama menjadi perhatian termasuk Facebook, Instagram, TikTok, YouTube dan ChatGPT.
- Cadangan mewajibkan penyedia platform mengambil tanggungjawab lebih besar untuk memastikan perkhidmatan selamat bagi kanak-kanak.
- Langkah ini susulan kebimbangan meningkat terhadap impak platform digital terhadap kesihatan mental dan keselamatan kanak-kanak.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, pengguna berusia 13 hingga 15 tahun pula hanya dibenar memiliki akaun yang dipantau ibu bapa atau penjaga, dengan ciri terhad serta tempoh penggunaan maksimum sejam sehari.
“Tiada media sosial bagi mereka yang berusia bawah 13 tahun. Tiada akaun peribadi bagi mereka yang berusia bawah 15 tahun,” katanya pada sidang media di Strasbourg.
Antara platform yang menjadi perhatian termasuk Facebook dan Instagram milik Meta, TikTok, YouTube milik Google serta ChatGPT.
Cadangan menerusi Akta Kanak-Kanak EU itu turut meletakkan tanggungjawab lebih besar kepada penyedia platform untuk memastikan perkhidmatan mereka selamat sebelum digunakan oleh golongan bawah umur.
Langkah berkenaan menyusuli pendekatan serupa yang dilaksana beberapa negara anggota EU, serta negara lain antaranya Australia, Britain, China, India dan Turkiye.
Pelaksanaannya dibuat susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan platform digital kepada kesihatan mental dan keselamatan kanak-kanak.
Von der Leyen berkata, kemajuan teknologi ketika ini mendedahkan kanak-kanak kepada sistem yang sangat canggih, namun tidak semestinya dibangunkan dengan mengambil kira keperluan perkembangan mereka. – REUTERS