Rumah diroboh, keluarga Palestin jadikan gua tempat berlindung

Foto AFP

YATTA, 17 September – Selepas dua rumahnya dirobohkan tentera Israel, penternak warga Palestin, Mohammed Emar menjadikan dua buah gua di Masafer Yatta, selatan Tebing Barat, sebagai kediaman untuk keluarganya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Emar bina lantai konkrit dalam gua, sapu kapur putih, guna panel solar dan telaga sebagai bekalan elektrik dan air.
  • Kediaman dihuni dua isteri dan 11 anak; mereka anggap gua seperti kubur, kehilangan kehidupan atas tanah.
  • Isterinya berkata keluarga mula berkhemah selepas pemusnahan rumah 2023; tentera benarkan tinggal dalam gua yang wujud sejak dahulu.
  • Tentera kata pembinaan tanpa permit; penduduk dakwa permit hampir sentiasa ditolak, harap 1,100 penduduk kembali selamat.

Emar, 33 tahun, membina lantai konkrit di dalam gua berkenaan dan menyapu kapur putih pada dinding batu, selain menggunakan panel solar untuk bekalan elektrik serta sebuah telaga sebagai sumber air.

Kediaman itu kini dihuni beliau bersama dua isterinya dan 11 anak mereka.

“Dahulu kami tinggal di rumah di atas tanah, tempat kami boleh melihat dunia. Tetapi hari ini, kami tinggal di dalam gua bawah tanah yang menyerupai kubur,” katanya.

Isterinya, Fatima Emar berkata, keluarganya pada mulanya mendirikan khemah selepas rumah yang dibina pada 2023 dimusnahkan.

“Sekarang kami berlindung di dalam gua. Oleh sebab gua ini sudah wujud sejak zaman dahulu, mereka tidak boleh merobohkannya dan tentera membenarkan kami tinggal di sini,” katanya.

Tentera Israel mempertahankan tindakan merobohkan rumah dengan alasan pembinaan berkenaan dilakukan tanpa kebenaran di kawasan di bawah kawalannya.

Penduduk Palestin pula mendakwa permohonan mendapatkan permit pembinaan hampir sentiasa ditolak.

Emar berharap kira-kira 1,100 penduduk Palestin di kawasan itu suatu hari nanti dapat kembali hidup dengan selamat di kediaman mereka sendiri. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.