
BRUSSELS, 11 Julai – Cadangan melarang import produk dari penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat akan dibincangkan Menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin ini.
- Badan eksekutif EU mengemukakan pilihan termasuk larangan import produk dari penempatan Israel.
- Ireland, Belanda dan Sepanyol telah mengenakan sekatan perdagangan terhadap produk penempatan, menegaskan ia melanggar undang-undang antarabangsa.
- Negara anggota berpecah sama ada keputusan perlukan undi sebulat suara atau majoriti berwajaran, Jerman dan Itali masih belum membuat keputusan.
Para diplomat berkata langkah itu dibuat susulan tekanan daripada beberapa negara anggota.
Bagaimanapun, perbincangan berkenaan dijangka tidak menghasilkan keputusan konkrit, sebaliknya bertujuan menilai sama ada terdapat sokongan mencukupi untuk meneruskan cadangan tersebut.
Ireland, Belanda dan Sepanyol antara negara EU yang telah mengenakan sekatan perdagangan terhadap produk dari penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Kesemua negara tersebut menegaskan bahawa penempatan berkenaan dengan jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Badan eksekutif EU minggu ini mengemukakan beberapa pilihan untuk mengehadkan perdagangan dengan penempatan tersebut, termasuk larangan import.
Bagaimanapun, masih terdapat percanggahan pandangan sama ada langkah itu memerlukan sokongan semua 27 negara anggota atau hanya majoriti berwajaran.
Para diplomat berkata Jerman dan Itali masih belum membuat keputusan.
Israel menduduki Tebing Barat sejak 1967 dengan lebih 500,000 warga negara haram itu kini tinggal di wilayah tersebut, tidak termasuk Baitulmaqdis Timur, bersama kira-kira tiga juta rakyat Palestin.
Ketua Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres sebelum ini mengecam peluasan penempatan Israel di Tebing Barat kerana menyumbang kepada krisis pemindahan penduduk paling buruk di wilayah berkenaan sejak 1967.
EU sekian lama berdepan kesukaran mengambil tindakan terhadap Israel susulan perbezaan pendirian dalam kalangan negara anggotanya. – AFP