Dua bekas ahli politik Maghribi dipenjara terlibat sindiket edar dadah berprofil tinggi

Abdennabi Bioui (kiri) dan Said Naciri/ Foto AFP

CASABLANCA, 27 Jun – Dua ahli politik terkemuka Maghribi dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya sedekad selepas didapati bersalah atas pertuduhan terlibat sindiket pengedaran dadah antarabangsa berprofil tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes mempunyai kaitan dengan raja dadah warga Mali, Ahmed Ben Brahim, dikenali sebagai "Escobar of the Sahara".
  • Lebih 20 individu dituduh memainkan peranan penting dalam rangkaian pengedaran dadah global diketuai Ahmed Ben Brahim.
  • Tertuduh Said Naciri dan Abdennabi Bioui bekas pegawai kanan Parti PAM; pernah berdepan tuduhan rasuah, pemalsuan dan pelbagai kes dadah.
  • Mahkamah menyabitkan 28 defendan atas pengedaran dadah, rasuah dan pemalsuan; perbicaraan bermula 2024.

Kes terbabit mempunyai kaitan dengan seorang raja dadah warga Mali yang sedang menjalani hukuman penjara.

Kes berprofil tinggi berkenaan turut membabitkan lebih daripada 20 individu yang dituduh memainkan peranan penting dalam rangkaian pengedaran dadah global yang didalangi oleh Ahmed Ben Brahim atau lebih dikenali “Escobar of the Sahara”.

Tertuduh, Said Naciri dan Abdennabi Bioui merupakan bekas pegawai kanan Parti PAM Maghribi, yang merupakan sebahagian daripada parti dalam gabungan pemerintah; sebelum ini berhadapan pertuduhan rasuah, pemalsuan serta pemilikan, penjualan, dan pengeksportan dadah.

Mahkamah pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Naciri, yang juga merupakan bekas ketua kelab bola sepak terkemuka Wydad Casablanca, manakala Bioui pula dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun.

“Secara keseluruhan, seramai 28 defendan telah disabitkan kesalahan atas hampir kesemua pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka termasuk pengedaran dadah, rasuah dan pemalsuan,” menurut dokumen mahkamah.

Perbicaraan yang bermula sejak tahun 2024 ini mencatatkan sejarah tersendiri sebagai kes pertama di Maghribi yang melibatkan tokoh politik berpangkat tinggi dalam jenayah narkotik.

Kedua-dua individu terbabit telah ditahan sejak akhir tahun 2023 dan secara konsisten menafikan semua dakwaan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.