Chile isytihar amaran kesihatan berhubung kadar kematian Hantavirus

Foto AFP

SANTIAGO, 29 Julai – Chile pada Selasa mengisytiharkan amaran kesihatan peringkat kebangsaan pertama bagi hantavirus demi memperkukuh pemantauan susulan peningkatan kadar kematian akibat penyakit itu pada tahun ini, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Chile seperti yang dilaporkan oleh Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar kematian meningkat kepada 39% tahun ini, berbanding 18% pada 2025.
  • Amaran membolehkan pengukuhan pengawasan, pengurusan sumber, pengambilan kakitangan khusus dan percepatan pembelian bekalan kesihatan.
  • Awam digesa elak sentuhan rodensia, pastikan pengudaraan sebelum masuk rumah, bersihkan ruang dengan air dan klorin serta simpan makanan selamat.

Data rasmi menunjukkan 46 kes jangkitan dan 18 kematian direkodkan setakat minggu lepas bagi tahun ini, mewakili kadar kematian sebanyak 39 peratus iaitu peningkatan berbanding 18 peratus pada 2025.

Langkah berkenaan berkuat kuasa dari wilayah utara Atacama hingga ke wilayah selatan Magallanes dan akan kekal berkuat kuasa sehingga 31 Julai 2027.

“Hantavirus menyebabkan penyakit yang bersifat endemik di Chile dan disebarkan oleh tikus berekor panjang, yang hidup di kawasan luar bandar serta separa luar bandar di sebahagian besar negara ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian, pihaknya sentiasa memantau haiwan terbabit serta penyakit yang dibawa.

Ia menambah amaran itu akan membolehkan mereka memperkukuh pengawasan, memastikan pengurusan sumber yang cekap dan tepat pada masanya, mengambil kakitangan khusus, melaksanakan langkah kawalan kesihatan, serta mempercepat pembelian bekalan.

Pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga tambahan, termasuk mengelakkan sentuhan dengan haiwan rodensia, memastikan pengudaraan yang baik di dalam rumah sebelum memasukinya jika rumah telah ditutup untuk tempoh tertentu, membersihkan ruang yang tidak digunakan menggunakan air dan klorin, memastikan tong sampah sentiasa bertutup, serta menyimpan makanan dengan cara yang selamat.

Bermula Disember 2025, Pertubuhan Kesihatan Pan-Amerika (PAHO) telah mengekalkan amaran epidemiologi berikutan peningkatan kes hantavirus di seluruh wilayah Kon Selatan. – BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.