
TOKYO, 29 Julai – Jumlah populasi rakyat Jepun menyusut di bawah 120 juta orang buat pertama kali dalam tempoh 42 tahun, ketika negara itu berdepan isu kadar kelahiran rendah dan masyarakat semakin berusia.
- Populasi warga Jepun menyusut 17 tahun berturut-turut sejak mencapai kemuncak pada 2009.
- Penduduk asing meningkat ke paras tertinggi sejak rekod 2013, menjadikan jumlah keseluruhan kini 123.8 juta.
- Kadar kesuburan 1.14, kelahiran terendah sejak 1899; menimbulkan kekurangan tenaga kerja dan beban kos kebajikan.
Menurut data Kementerian Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, jumlah penduduk warga Jepun setakat 1 Januari lalu berjumlah 119.74 juta orang, susut 0.76 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kajian yang bermula pada 1968 itu menunjukkan populasi warga Jepun terus menurun selama 17 tahun berturut-turut sejak mencapai kemuncak pada 2009.
Bagaimanapun, jumlah penduduk asing yang menetap di Jepun meningkat ke paras tertinggi sejak rekod rasmi bermula pada 2013.
Dengan mengambil kira penduduk asing, jumlah keseluruhan populasi Jepun kini berjumlah 123.8 juta orang.
Menurut Bank Dunia, Jepun mempunyai populasi kedua tertua di dunia selepas Monaco, dengan purata usia penduduk mencecah 49.9 tahun.
Data Jun lalu menunjukkan kadar kesuburan Jepun kembali mencatat rekod terendah, sekali gus menandakan krisis demografi yang semakin membimbangkan bagi ekonomi keempat terbesar dunia itu.
Kadar kesuburan keseluruhan negara itu menurun 0.01 mata kepada 1.14 anak bagi setiap wanita, mencatat penurunan untuk tahun ke-10 berturut-turut.
Jumlah bayi yang dilahirkan turut berkurang hampir 15,000 orang, menjadi angka terendah sejak tahun 1899.
Krisis demografi itu telah menyebabkan kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos kebajikan sosial serta penyusutan asas cukai kerajaan.