Berpelukan dalam jerebu, ibu dan anak orang utan diselamatkan

Raya dan Rayu menjadi orang utan terbaharu yang diselamatkan dari kawasan kebakaran di Indonesia/ AFP

JAKARTA, 3 September- Pihak berkuasa Indonesia menyelamatkan seekor ibu orang utan bersama anaknya berusia kira-kira setahun dari kawasan tanah gambut yang terjejas kebakaran di Kalimantan Tengah pada malam Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua orang utan dibawa ke lokasi lebih selamat untuk pemeriksaan kesihatan dan pemantauan lanjut.
  • Maklumat awal menyebut seekor orang utan, tetapi operasi mendapati dua: ibu dan anak anggaran setahun.
  • Operasi berdepan cabaran: gelap hadkan pencahayaan dan penglihatan, kawasan terbakar menyukarkan pemindahan.
  • Rakaman menunjukkan anak berpaut pada ibu semasa pemeriksaan; kedua-duanya dibawa ke klinik untuk pemerhatian sebelum dilepaskan.

Kedua-dua orang utan yang dinamakan Raya dan Rayu itu kemudian dibawa ke lokasi lebih selamat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemantauan lanjut.

Pegawai Agensi Pemuliharaan Sumber Alam Indonesia, Muriansyah berkata pihaknya pada awalnya menerima maklumat mengenai seekor orang utan di kawasan terbabit.

“Maklumat awal kami terima ialah terdapat seekor orang utan. Namun, ketika operasi menyelamat dan proses pembiusan dijalankan, kami mendapati terdapat seekor lagi iaitu anaknya.

“Seekor ialah ibu berusia sekitar 20 tahun dan seekor lagi anaknya yang dianggarkan berusia kira-kira setahun,” katanya kepada AFP pada Khamis.

Beliau berkata operasi menyelamat yang dijalankan berdepan beberapa cabaran termasuk keadaan gelap yang mengehadkan pencahayaan dan jarak penglihatan.

“Cabaran pertama ialah keadaan gelap, menyebabkan pencahayaan dan jarak penglihatan terhad. Kedua, kawasan yang terbakar dan keadaan itu amat menyukarkan petugas menjalankan proses pemindahan,” katanya.

Rakaman menunjukkan anak orang utan berkenaan berpaut pada ibunya ketika kedua-duanya diperiksa dan diberikan rawatan oleh petugas.

Sementara itu, pegawai agensi sumber alam dan pemuliharaan Kalimantan Tengah, Heriyanto berkata kedua-dua haiwan itu telah dibawa ke sebuah klinik untuk pemerhatian.

“Kedua-duanya akan dilepaskan ke habitat asal selepas pemeriksaan lanjut,” katanya.

Indonesia berdepan kebakaran hutan sejak beberapa minggu lalu yang menyebabkan asap tebal menyelubungi sebahagian kawasan Borneo dan Sumatera, dengan jerebu turut merentasi sempadan ke Malaysia, Singapura dan Filipina.

Pihak berkuasa di Kalimantan Barat bulan lalu menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh ekor orang utan dari kawasan terjejas akibat kebakaran hutan.

Tinjauan kerajaan Indonesia pada 2016 menganggarkan populasi orang utan di Borneo sekitar 57,000 ekor. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.