
SINGAPURA, 4 September- Seramai 52 rakyat Singapura ditahan di Guangxi, China selepas satu operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti yang disyaki skim piramid dan kesalahan berkaitan, menurut kenyataan bersama Kementerian Luar (MFA) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).
- Pihak berkuasa China sedang menjalankan siasatan terhadap aktiviti yang disyaki skim piramid.
- SPF telah menghubungi pihak berkuasa China dan MFA berhubung melalui Kedutaan di Beijing serta Konsulat di Guangzhou.
- MFA mengadakan lawatan konsular, memberi bantuan kepada terlibat dan keluarga serta mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan skim rekruitmen.
“Siasatan oleh pihak berkuasa China sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Kenyataan itu memaklumkan SPF telah menghubungi pihak berkuasa China untuk mendapatkan maklumat lanjut manakala MFA berhubung dengan pihak berkuasa China menerusi Kedutaan Singapura di Beijing dan Konsulat Jeneral Singapura di Guangzhou.
MFA telah mengadakan lawatan konsular kepada kesemua 52 rakyat Singapura tersebut bagi memantau keadaan serta memberikan bantuan konsular, di samping mengekalkan hubungan dengan ahli keluarga terdekat mereka, menurut kenyataan itu.
“Kerajaan Singapura tidak campur tangan dalam sistem kehakiman negara asing, sama seperti kami mengharapkan kerajaan asing menghormati undang-undang dan proses perundangan kami.
“MFA akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China serta memberikan bantuan konsular kepada rakyat Singapura terbabit dan keluarga mereka.
“Kami akan menegaskan bahawa rakyat Singapura terbabit perlu melalui proses sewajarnya selaras dengan undang-undang China,” menurut kenyataan itu.
Rakyat Singapura turut diingatkan supaya berhati-hati apabila diundang untuk menyertai skim yang melibatkan pengambilan peserta atau pembayaran wang dalam jumlah yang besar di peringkat awal, sama ada di luar negara mahupun di dalam negara. -BERNAMA