Lebih seminggu terperangkap, dua pekerja hidroelektrik Nepal diselamatkan

Dua pekerja loji hidroelektrik berjaya diselamatkan selepas lebih seminggu terperangkap bawah runtuhan terowong di Nepal – Foto AFP

KATHMANDU, 4 September – Dua pekerja loji hidroelektrik berjaya diselamatkan dari sebuah terowong yang tertimbus akibat runtuhan tanah di Nepal pada Jumaat, lebih seminggu selepas kawasan berkenaan dilanda banjir besar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Identiti kedua-dua mangsa: Sanjay Shah, 30, pekerja mekanikal; Kabir Maharjan, 45, penyelia mekanikal.
  • Rakaman menunjukkan penyelamat bersorak, seorang dikeluarkan dari bukaan berlumpur dan seorang lagi dibawa keluar menggunakan pengusung.
  • Ratusan pekerja dilaporkan hilang; kerajaan kata lebih 100 dipercayai masih hidup dan operasi mencari terus di Trishuli 3A serta lokasi lain.

Menteri Dalam Negeri, Sudan Gurung berkata, kedua-dua mangsa dibawa keluar oleh pasukan penyelamat selepas terperangkap dalam terowong yang dipenuhi timbunan runtuhan.

Menurutnya, dua pekerja itu merupakan pekerja mekanikal dikenali sebagai Sanjay Shah, 30 dan penyelia mekanikal, dan Kabir Maharjan, 45.

Rakaman yang dikeluarkan Kementerian Tenaga menunjukkan anggota penyelamat bersorak ketika seorang daripada lelaki itu berjaya dikeluarkan dari bukaan terowong yang dipenuhi lumpur sebelum dibantu berdiri.

Mangsa kedua pula dilihat diseliputi lumpur ketika dibawa keluar menggunakan pengusung.

Adik Kabir, Amir Maharjan menyifatkan berita penemuan abang dalam keadaan selamat sebagai sesuatu yang amat melegakan dan menggembirakan.

Dua pekerja berkenaan antara ratusan pekerja loji hidroelekktrik yang dilaporkan hilang sejak selepas bajir lumpur dan bongkah runtuhan melanda kawasan itu pada 26 Ogos lalu.

Menteri Tenaga, Biraj Bhakta Shrestha mengesahkan seorang mangsa berjaya diselamatkan dari terowong Trishuli 3A, diikuti seorang lagi tidak lama kemudian.

Sementara itu, Gurung menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima berita bahawa seorang lagi mangsa turut berjaya diselamatkan.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan lebih 100 pekerja dipercayai masih hidup dan terperangkap dalam beberapa terowong.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di terowong Trishuli 3A serta beberapa lokasi lain. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.