Korea Selatan timbang sumbangan keselamatan AS di Selat Hormuz

Foto REUTERS

SEOUL, 4 Sept – Korea Selatan sedang mempertimbangkan untuk menyumbang kepada usaha keselamatan Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz, selagi tidak menjejaskan kesiapsiagaan tenteranya, namun belum membuat sebarang keputusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pejabat Presiden berkata tiada keputusan dibuat mengenai bentuk sumbangan keselamatan di Selat Hormuz.
  • Rujukan taklimat menyenaraikan pilihan seperti peranan tempur, bukan tempur dan operasi mencari sebagai penerangan umum.
  • Usaha AS dapat sokongan sekutu sukar; konflik buntu, Iran mengekalkan kawalan ke atas Selat Hormuz.

Seorang pegawai presiden Korea Selatan berkata sumbangan kepada usaha keselamatan di Selat Hormuz boleh dilaksanakan dalam had yang tidak menjejaskan kesiapsiagaan ketenteraan negara itu.

Bagaimanapun, Pejabat Presiden Korea Selatan dalam kenyataan berasingan menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat berhubung bentuk sumbangan sebenar.

“Rujukan yang dibuat dalam taklimat hari ini mengenai sumbangan ketenteraan, termasuk penyertaan dalam pertempuran, peranan bukan tempur dan operasi mencari, hanyalah penerangan umum mengenai pelbagai pilihan,” menurut kenyataan itu.

Perkembangan berkenaan susulan laporan penyiar tempatan JTBC sehari sebelumnya bahawa kerajaan Korea Selatan cenderung menghantar tentera bagi membantu operasi di Selat Hormuz dan sedang meneliti butirannya sebelum mendapatkan kelulusan Parlimen.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini berulang kali mendesak sekutunya, Korea Selatan, membantu usaha perang di Asia Barat, termasuk mengukuhkan keselamatan Selat Hormuz.

Trump sebelum ini berkata Seoul menolak permintaannya untuk membantu mengawal laluan perkapalan strategik berkenaan.

Sementara itu, usaha Trump mendapatkan bantuan sekutu dalam konflik yang dilancarkan AS dan Israel terhadap Iran enam bulan lalu berdepan kesukaran.

Pertempuran kini menemui jalan buntu ketika Iran mengekalkan kawalan ketat terhadap Selat Hormuz, manakala Washington meneruskan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.