Belgium berminat jalin kerjasama dengan Malaysia dalam tenaga luar pesisir

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri Belgium yang juga Menteri Luar, Hal Ehwal Eropah dan Kerjasama Pembangunan Maxime Prévot disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof./ FB Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Belgium berminat untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam bidang tenaga luar pesisir dengan memanfaatkan kepakarannya dalam sektor tersebut ketika kedua-dua negara melaksanakan peralihan kepada tenaga hijau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belgium telah membangunkan ladang angin luar pesisir dua gigawatt dan merancang meningkatkan kapasiti kepada enam hingga tujuh gigawatt.
  • EU melalui Global Gateway merancang menggerakkan dana €10 bilion untuk menyokong Grid Tenaga ASEAN dan peralihan tenaga di rantau ini.
  • Pemuktamadan MEUFTA menjadi keutamaan Belgium dan EU, dijangka membuka peluang perdagangan baharu serta menyokong pertumbuhan ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri Belgium yang juga Menteri Luar, Hal Ehwal Eropah dan Kerjasama Pembangunan Maxime Prévot berkata tenaga luar pesisir adalah antara sektor yang mempunyai potensi kukuh untuk kerjasama dua hala selain semikonduktor, logistik, ujian klinikal, penyelidikan dan pembangunan bioteknologi serta farmaseutikal.

“Terdapat peluang besar untuk bekerjasama antara Belgium dan Malaysia dalam tenaga luar pesisir,” katanya kepada Bernama di luar sesi Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 di sini hari ini.

Prévot berkata walaupun hanya mempunyai garis pantai sepanjang 60 kilometer, Belgium telah membangunkan ladang angin luar pesisir yang mampu menjana dua gigawatt tenaga elektrik.

“Kami telah membangunkan ladang angin luar pesisir yang membekalkan dua gigawatt tenaga elektrik kepada penduduk.

“Kami turut berhasrat meningkatkan kapasiti itu kepada enam hingga tujuh gigawatt dalam beberapa tahun akan datang bersamaan dengan lima hingga tujuh loji tenaga nuklear,” katanya.

Prévot menegaskan bahawa langkah meningkatkan kapasiti tenaga angin luar pesisir mencerminkan komitmen Belgium terhadap keselamatan tenaga dan penyahkarbonan.

Dalam ucapan pada forum tersebut, beliau berkata Kesatuan Eropah (EU) dan negara anggotanya merancang untuk menggerakkan dana berjumlah €10 bilion (€1=RM4.65) di bawah Global Gateway Strategy untuk menyokong Grid Tenaga ASEAN dan peralihan tenaga di rantau ini.

Prévot berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen EU untuk melabur dalam pembangunan jangka panjang, mampan dan bermanfaat pada peringkat tempatan selain memperkukuh kesalinghubungan dan daya tahan serantau.

Katanya dengan menyelaraskan strategi, Eropah dan ASEAN boleh mewujudkan pertumbuhan yang mampan selain memperkukuh daya tahan rantau ini dan kerjasama yang lebih baik dalam tenaga bersih akan turut membantu mempercepat peralihan hijau.

Pada masa sama, Belgium berharap Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang kini dalam proses dimuktamadkan, akan membuka lebih banyak peluang perdagangan baharu selain memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Hal Ehwal Eropah dan Pembangunan Koperasi Belgium Maxime Prévot berkata usaha pemuktamadan FTA itu kekal menjadi keutamaan bagi Kesatuan Eropah (EU) dan Belgium.

“(FTA) itu bakal membuka pintu (peluang) untuk lebih banyak peluang bagi pertukaran dan perdagangan baharu sambil menyokong pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua pihak,” kata beliau kepada Bernama, hari ini.

Prévot dan delegasinya berada di Malaysia bagi lawatan kerja dua hari mulai hari ini yang juga merupakan kunjungan pertama beliau sejak menggalas jawatan itu pada Februari 2025.

Mengulas selanjutnya, Prévot juga menjangkakan FTA itu dapat mengekalkan pembangunan kedua-dua rantau terbabit.

Rundingan MEUFTA itu dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh beberapa bulan atau menjelang 2027.

Selain itu, Prévot berkata Belgium adalah sebuah ekonomi terbuka dengan sektor eksport menyumbang kira-kira 85 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun merupakan sebuah negara kecil dengan 11.77 juta orang penduduk.

Dalam pada itu, antara agenda Prévot hari ini adalah menemui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Kedua-dua pihak dijangka membincangkan kerjasama dalam tenaga boleh baharu, unsur nadir bumi dan industri halal, perhubungan Malaysia-EU selain perkembangan serantau dan antarabangsa.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Belgium mencecah RM9.74 bilion pada 2025 yang merangkumi RM6.85 bilion bagi eksport Malaysia manakala import RM2.89 bilion.

Bagi tempoh setakat 2025, sebanyak 67 projek membabitkan penyertaan Belgium telah diluluskan yang mewakili pelaburan RM5.1 bilion selain berpotensi mewujudkan sebanyak 4,605 pekerjaan.

Prevot tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan kerja selama dua hari dan merupakan lawatan kerja pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan pada Februari 2025.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Belgium berjumlah RM9.74 bilion pada 2025, terdiri daripada RM6.85 bilion eksport Malaysia dan RM2.89 bilion dalam import.

Sehingga 2025, sebanyak 67 projek dengan penyertaan Belgium telah diluluskan, melibatkan pelaburan bernilai RM5.1 bilion dengan potensi mewujudkan 4,605 ​​pekerjaan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.