Bahrain kecam keras serangan peluru berpandu, dron Iran

Foto REUTERS

MANAMA, 28 Jun – Bahrain mengutuk sekerasnya pencerobohan terbaharu Iran ke atas wilayahnya, selepas negara itu sekali lagi menjadi sasaran bedilan beberapa peluru berpandu balistik dan serangan dron.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar: serangan bukan insiden terpencil, tetapi pencerobohan sengaja terhadap kedaulatan dan keselamatan rakyat.
  • Bahrain tekankan pencerobohan berulang tunjukkan Iran terus degil, mengabaikan kecaman antarabangsa dan janji yang dibuat.
  • Serangan cetus keraguan terhadap komitmen Tehran dalam Memorandum Islamabad, Iran dipertanggungjawabkan atas gangguan rundingan damai dan kestabilan rantau.

Kementerian Luar menegaskan serangan membuktikan tindakan Tehran bukanlah insiden terpencil atau kebetulan.

“Ini adalah pencerobohan yang disengajakan terhadap kedaulatan Bahrain serta keselamatan rakyat dan penduduknya,” tegasnya.

Sebelum ini, Bahrain pernah mengutuk pencerobohan Iran dan mengingatkan Tehran mengenai pelanggaran antarabangsa yang termaktub dalam Resolusi 2817 (2026) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC).

“Pencerobohan berulang tersebut membuktikan Iran terus berdegil tanpa mempedulikan kecaman antarabangsa atau janji yang telah dibuat,” katanya.

Bagaimanapun, Bahrain menegaskan pencerobohan itu tidak akan melemahkan keazaman dan keteguhan rakyatnya.

Menurut Kementerian Luar, tindakan terbaharu terbabit tidak sepatutnya berlaku memandangkan serangan dilakukan selepas Tehran menyatakan komitmen di bawah Memorandum Persefahaman Islamabad yang ditandatangani pada 17 Jun lepas untuk menghentikan operasi ketenteraan secara kekal dan menghormati kedaulatan negara serantau.

“Tanggungjawab sepenuhnya perlu diletakkan kepada Iran kerana menjejaskan peluang rundingan damai dan kestabilan rantau berkenaan,” ujar kenyataan itu lagi.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.