
BAGHDAD, 28 Jun – Pasukan keselamatan Iraq menyerbu kawasan kawalan ketat (zon hijau) di Baghdad bagi menahan beberapa ahli politik dan kenamaan dipercayai terlibat kes rasuah.
- Serbuan dijalankan mengikut perintah kehakiman, menyasarkan ahli politik berhubung rasuah kewangan, melibatkan pasukan antiterorisme dan tentera.
- Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan; pihak berkuasa tidak mendedahkan butiran atau nama, namun beberapa nama tular dalam media tempatan.
- Serbuan berlaku susulan ikrar Perdana Menteri Ali al-Zaidi untuk membanteras rasuah dan salah urus tadbir yang menjejaskan negara.
Menurut pegawai keselamatan kepada AFP, zon hijau itu menempatkan kedutaan Amerika Syarikat (AS), para diplomatik, institusi antarabangsa dan pejabat kerajaan.
Golongan pegawai berpangkat tinggi serta ahli politik juga menetap di kawasan berkenaan.
“Serbuan dilakukan berdasarkan perintah kehakiman yang menyasarkan beberapa ahli politik berhubung kes rasuah kewangan,” katanya sambil menambah bahawa operasi berkenaan melibatkan pasukan antiterorisme dan tentera.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa dan sumber tersebut tidak mendedahkan butiran lanjut mahupun nama pegawai yang dilaporkan telah ditahan.
Bagaimanapun, serbuan berskala besar itu difahamkan bertujuan untuk menahan pegawai kanan Iraq dengan beberapa nama kini mula tular dalam laporan media tempatan.
Perkembangan tersebut berlaku susulan ikrar Perdana Menteri baharu Iraq, Ali al-Zaidi, yang menegaskan mahu memerangi isu rasuah dan salah urus tadbir yang telah membelenggu negara itu selama berdekad.- AFP