BANGKOK, 7 September – Taikun perniagaan, Anutin Charnvirakul, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Thailand baharu pada Sabtu.
Ini sekali gus menamatkan penguasaan dinasti politik Shinawatra yang mendominasi negara itu sejak lebih dua dekad.
Anutin, yang terkenal sebagai arkitek dasar nyahjenayah ganja pada 2022, berjaya membentuk kerajaan campuran selepas Parlimen menolak Parti Pheu Thai bulan lalu susulan pemecatan perdana menterinya, Paetongtarn Shinawatra, oleh mahkamah.
Beliau kini menjadi perdana menteri ketiga Thailand dalam tempoh dua tahun. Namun sokongan gabungan diperoleh bergantung kepada jaminan pembubaran Parlimen dalam tempoh empat bulan untuk memberi laluan kepada pilihan raya baharu awal tahun depan.
“Saya akan bekerja dengan penuh keupayaan, kejujuran dan moral, demi kepentingan rakyat serta negara,” katanya sejurus menerima watikah perkenan Raja Maha Vajiralongkorn di ibu pejabat Parti Bhumjaithai di sini.
Anutin sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kesihatan dan Menteri Dalam Negeri.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam pengurusan pandemik COVID-19, meskipun pernah dikecam kerana menyalahkan pelancong Barat kerana menyebarkan virus berkenaan. – AFP