
KUALA LUMPUR, 23 April – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa reformasi sistemik dalam pengurusan dana umat disegerakan, termasuk penubuhan badan pemantau seperti Suruhanjaya Amal Malaysia.
- Perkukuh kawalan dalaman dan pemantauan untuk cegah penyelewengan serta memperkukuh budaya amanah dan akauntabiliti.
- Badan pemantau perlu disokong teknologi bagi menjejak aliran dana serta pelaksanaan audit konsisten dan menyeluruh.
- Selaraskan mekanisme kutipan dana merentas negeri dengan garis panduan jelas agar bantuan sampai kepada yang benar-benar memerlukan.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, langkah itu penting bagi memastikan organisasi kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) beroperasi dengan lebih telus serta berintegriti.
Menurut beliau, badan pemantau tersebut juga perlu disokong dengan penggunaan teknologi bagi menjejak aliran dana serta pelaksanaan audit yang lebih konsisten dan menyeluruh.
“Perkembangan ini bukan sekadar kes individu, tetapi mencerminkan isu lebih besar dalam tadbir urus dana masyarakat yang perlu diperbaiki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi menegaskan, kelemahan kawalan dalaman dan pemantauan tidak menyeluruh boleh membuka ruang kepada penyelewengan sekiranya tidak ditangani segera.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar mekanisme kutipan dana yang merentas negeri diselaraskan melalui garis panduan yang lebih jelas dan seragam.
Katanya, langkah itu bukan untuk menyekat aktiviti kebajikan, sebaliknya bagi melindungi amanah masyarakat serta memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Pengurusan dana bukan sekadar soal kewangan, tetapi soal amanah serta berkait dengan kehidupan golongan memerlukan. Apabila berlaku ketirisan, kesannya bukan sahaja kepada angka, tetapi kepada kepercayaan masyarakat dan nasib mereka yang sepatutnya dibantu.
“Integriti bukan sekadar pematuhan kepada prosedur, tetapi soal nilai dan tanggungjawab. Setiap dana yang diamanahkan membawa hak golongan memerlukan. Justeru, budaya amanah dan akauntabiliti perlu diperkukuh dalam semua peringkat. Tanpa integriti, dana umat akan hilang arah,” katanya.
ABIM turut menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan pihak berkuasa dan menuntut tindakan tegas sekiranya terbukti berlaku penyelewengan.