
BEIRUT, 23 April – Serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa termasuk seorang wartawan di Lubnan pada Rabu.
- Beirut bersiap memohon lanjutan gencatan senjata menjelang rundingan di Washington.
- Lebanon akan memohon lanjutan sebulan, menuntut Israel hentikan pengeboman dan penuhi syarat gencatan senjata.
- Israel mendakwa menyerang kenderaan disyaki digunakan Hizbullah selepas dakwaan pelanggaran gencatan senjata.
Serangan berkenaan berlaku ketika Beirut bersiap sedia untuk memohon pelanjutan tempoh gencatan senjata dalam rundingan yang dijadualkan berlangsung di Washington pada Khamis.
Menjelang rundingan tersebut, Israel menggesa kerajaan Lubnan untuk “bekerjasama” dalam menentang kumpulan pejuang Hizbullah yang disokong Iran.
Kedua-dua negara yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik itu dijadualkan mengadakan pusingan kedua rundingan di bawah tajaan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak 2 Mac lalu.
Seorang pegawai kanan Lubnan memberitahu agensi berita AFP bahawa pihaknya akan meminta pelanjutan gencatan senjata selama sebulan.
Tempoh gencatan senjata 10 hari sedia ada dijadualkan berakhir pada Ahad ini.
“Lubnan akan memohon gencatan senjata dilanjutkan sebulan lagi, selain menuntut Israel menghentikan pengeboman dan kemusnahan di kawasan yang diduduki serta komited sepenuhnya terhadap syarat gencatan senjata,” kata pegawai itu.
Meskipun gencatan senjata sedang berkuat kuasa, Israel terus melancarkan serangan yang menyasarkan beberapa lokasi.
Anggota penyelamat mengesahkan wartawan harian Al-Akhbar, Amal Khalil, terkorban dalam serangan pada Rabu, manakala rakan sejawatnya, Zeinab Faraj, dilaporkan cedera.
Menteri Penerangan Lubnan, Paul Morcos menerusi hantaran di X menyatakan bahawa Khalil menjadi sasaran tentera Israel ketika sedang menjalankan tugasannya.
Sementara itu, pihak tentera Israel dalam kenyataannya mendakwa serangan dilakukan terhadap kenderaan yang disyaki digunakan oleh Hizbullah selepas mendakwa individu terlibat melanggar gencatan senjata dan mendatangkan ancaman.
Sejak peperangan meletus, pihak berkuasa Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 2,454 orang telah terkorban.
Majlis penyelidikan saintifik negara itu pula menganggarkan lebih 50,000 unit kediaman telah rosak atau musnah sepenuhnya akibat bedilan Israel.
Dalam pada itu, Perancis mengesahkan kematian askar keduanya akibat kecederaan yang dialami dalam serangan hendap terhadap pasukan pengaman PBB di Lubnan pada hujung minggu lalu.
Serangan itu dikaitkan dengan Hizbullah, namun kumpulan berkenaan menafikan penglibatan mereka. – AFP