19 dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan bangunan di Filipina

FOTO AFP

MANILA, 24 Mei – Seramai 19 orang dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan dalam pembinaan runtuh di Angeles, Filipina, awal pagi Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bangunan konkrit sembilan tingkat belum siap runtuh; dinding dan perancah roboh, dipercayai memerangkap beberapa pekerja.
  • Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan namun sukar akibat timbunan konkrit besar memerlukan penggunaan jentera berat.
  • 24 orang berjaya diselamatkan, dua lagi daripada sebuah hotel turut terjejas; semua yang diselamatkan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kejadian melibatkan sebuah bangunan konkrit sembilan tingkat yang masih belum siap, yang dilaporkan runtuh sekitar pukul 3.00 pagi waktu tempatan.

Pegawai maklumat bandar Angeles, Jay Pelayo berkata, struktur bangunan termasuk dinding dan perancah runtuh; dipercayai memerangkap beberapa pekerja di bawah timbunan runtuhan.

Setakat ini tiada laporan kematian direkodkan, namun 19 pekerja yang kebiasaannya berada di lokasi berkenaan masih belum dapat dikesan.

Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan, namun berdepan kesukaran berikutan timbunan konkrit besar yang memerlukan penggunaan jentera berat untuk dialihkan.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa memaklumkan seramai 24 orang berjaya diselamatkan daripada runtuhan, selain dua lagi dari sebuah hotel yang turut terjejas dalam kejadian itu.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Kesemua mangsa yang terselamat dilaporkan berada dalam keadaan stabil. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.