
KUALA LUMPUR, 6 September – Lebih 10,000 tiket konsert ‘WALI LIVE IN JB’ sudah terjual, membuktikan sambutan menggalakkan peminat terhadap kemunculan kumpulan popular Indonesia, Wali Band, di Johor Bahru.
- Konsert 'WALI LIVE IN JB' berlangsung 3 Oktober di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, bermula jam 8 malam.
- Majoriti pembeli tiket datang dari Singapura, menonjolkan Johor Bahru sebagai lokasi strategik untuk konsert berskala besar.
- Najwa Latif dijemput sebagai penyanyi istimewa; konsert dijangka membawa nostalgia dan merancakkan pelancongan serta ekonomi setempat.
Konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dengan kerjasama Infinity Love Creative Ventures itu bakal berlangsung pada 3 Oktober ini di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, bermula jam 8 malam.
Menurut penganjur, majoriti pembeli tiket terdiri daripada peminat dari Singapura, sekali gus menunjukkan potensi Johor Bahru sebagai lokasi strategik bagi penganjuran konsert berskala besar.
Penganjur berkata, pada awalnya mereka agak skeptikal untuk menganjurkan konsert di Johor Bahru, namun keputusan itu berubah selepas melihat potensi pasaran dan sambutan positif peminat.
Selain Wali Band, penyanyi popular tempatan Najwa Latif turut diundang sebagai penyanyi istimewa bagi melengkapkan persembahan.
Najwa berkata, peluang berkongsi pentas dengan Wali Band amat bermakna kerana beliau membesar dengan lagu-lagu kumpulan berkenaan.
Wali Band yang dianggotai Faank, Apoy, Tomi dan Ovie telah lebih 25 tahun mencipta nama dalam industri muzik Nusantara menerusi lagu popular antaranya Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yank dan Aku Bukan Bang Toyib.
Konsert berkenaan bukan sahaja dijangka menjadi malam penuh nostalgia buat peminat, malah berpotensi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat menerusi kehadiran pengunjung dari Malaysia, Singapura dan rantau sekitar.
Tiket boleh didapati menerusi MyTicket Asia.