Achey lancar dua lagu raya baharu semarakkan sambutan aidilfitri

Dua lagu raya baharu berjudul Nak Balik Raya dan Ibu Raya

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Penyanyi dan pelawak popular Achey kembali memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan dua lagu raya baharu berjudul Nak Balik Raya dan Ibu Raya yang mengetengahkan tema kekeluargaan, nostalgia serta kegembiraan pulang ke kampung halaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lagu pertama menampilkan Achey bersama isteri dan anaknya Tiara, dengan konsep santai dan ceria.
  • Lagu itu diinspirasikan pengalaman peribadi Achey sebagai artis yang kadang tidak berkesempatan pulang beraya.
  • Muzik video lagu tersebut dilancarkan 28 Februari, menembusi top 10 carta trending YouTube dan hampir 500,000 tontonan.
  • Kedua-dua lagu terbitan Seventeen Eleven Music kini distrim di semua platform utama dan muzik video rasmi di saluran YouTube syarikat.

Lagu Nak Balik Raya menampilkan Achey bersama isterinya dan anak mereka, Tiara, dengan konsep santai serta ceria yang menggambarkan suasana perjalanan pulang ke kampung menjelang Aidilfitri.

Menurut Achey, lagu tersebut diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya sebagai artis yang kadangkala tidak berkesempatan pulang beraya bersama keluarga.

“Konsep lagu ini sangat dekat dengan keluarga. Saya mahu menggambarkan kegembiraan dan keterujaan orang ramai membuat persiapan untuk pulang ke kampung setiap kali raya,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 28 Februari lalu, muzik video Nak Balik Raya menerima sambutan hangat apabila berjaya menembusi kelompok 10 teratas carta trending muzik di YouTube selain mencatat hampir 500,000 tontonan dalam tempoh singkat.

Selain lagu itu, Achey turut mempersembahkan sebuah lagi karya berjudul Ibu Raya yang dinyanyikan bersama penyanyi cilik Tantari serta dua bakat muda, Dahlya dan Rayyan.

Lagu berkenaan memberi fokus kepada kasih sayang seorang ibu serta kemeriahan keluarga ketika menyambut Aidilfitri.

Achey berharap kedua-dua lagu tersebut dapat menemani perjalanan orang ramai yang pulang ke kampung serta menyemarakkan lagi suasana Syawal.

“Saya harap lagu ini dimainkan di radio, dalam bas, di pasar raya atau ketika orang ramai membeli-belah di bazar Ramadan. Mudah-mudahan ia membangkitkan semangat untuk pulang beraya bersama keluarga,” ujarnya.

Kedua-dua lagu terbitan Seventeen Eleven Music itu kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama manakala muzik video rasminya boleh ditonton di saluran YouTube syarikat berkenaan.