
SAUDARA PENGARANG
- Inflasi diukur oleh IHP tetapi tidak mencerminkan pengalaman setiap isi rumah; ia hanyalah satu petunjuk.
- Kuasa beli penting: jika pendapatan meningkat lebih perlahan daripada harga, isi rumah akan berkurang daya hidupnya.
- DOSM perkenal PAKW dan Indeks Kos Sara Hidup untuk mengukur kos kehidupan sebenar dan perbezaan lokasi.
- Perbelanjaan isi rumah, terutamanya perumahan, makanan dan pengangkutan, menentukan sejauh mana tekanan kos dirasai.
Kenyataan bahawa kos sara hidup di Malaysia semakin meningkat sering menjadi topik perbincangan dalam kalangan masyarakat. Hampir setiap kali harga makanan, sewa rumah atau tambang pengangkutan meningkat, timbul tanggapan bahawa kos sara hidup semakin membebankan.
Namun, persoalan yang wajar ditanya ialah, apakah kayu ukur sebenar untuk menentukan sama ada kos sara hidup benar-benar meningkat? Ramai yang mengaitkan kos sara hidup dengan kadar inflasi. Hakikatnya, inflasi hanyalah salah satu petunjuk.
Inflasi yang diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan perubahan purata harga sekumpulan barangan dan perkhidmatan dari semasa ke semasa. Jika kadar inflasi meningkat, ia bermakna harga secara purata turut meningkat.
Namun, inflasi tidak semestinya menggambarkan pengalaman sebenar setiap isi rumah kerana corak perbelanjaan setiap keluarga adalah berbeza. Sebagai contoh, inflasi Malaysia pada tahun 2024 mencatat purata 1.8 peratus, lebih rendah berbanding 2.5 peratus pada tahun 2023.
Pada masa yang sama, ekonomi negara berkembang sebanyak 5.1 peratus, kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus, manakala pendapatan median isi rumah meningkat kepada RM7,017 sebulan.
Secara teori, petunjuk ini menunjukkan keadaan ekonomi yang semakin baik. Namun, sebahagian rakyat masih merasakan tekanan kos sara hidup semakin meningkat. Mengapa keadaan ini berlaku?
Jawapannya ialah kos sara hidup bukan sekadar dipengaruhi oleh kadar kenaikan harga, tetapi juga oleh kemampuan seseorang menampung kos tersebut.
Sebagai contoh, jika harga makanan, sewa rumah dan tambang pengangkutan meningkat lebih cepat daripada pendapatan, maka kuasa beli isi rumah akan berkurangan walaupun kadar inflasi keseluruhan rendah.
Oleh itu, kemampuan membeli atau purchasing power merupakan aspek yang sama penting dengan perubahan harga. Menyedari hakikat tersebut, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggunakan pendekatan yang lebih menyeluruh bagi mengukur kos sara hidup.
Selain Indeks Harga Pengguna (IHP), DOSM memperkenalkan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (KSH).
PAKW menganggarkan jumlah perbelanjaan yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah untuk menjalani kehidupan yang wajar, merangkumi bukan sahaja makanan dan tempat tinggal, malah pendidikan, kesihatan, pengangkutan, komunikasi dan penyertaan dalam kehidupan sosial.
Pendekatan ini lebih realistik kerana ia mengukur kos kehidupan sebenar, bukannya sekadar kos untuk memenuhi keperluan minimum.
Sementara itu, Indeks Kos Sara Hidup (KSH) menunjukkan bahawa kos kehidupan berbeza mengikut lokasi. Berdasarkan laporan DOSM, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat kos sara hidup tertinggi dan dijadikan asas indeks pada nilai 100.
Selangor berada pada kedudukan kedua dengan indeks sekitar 91 hingga 92, diikuti Pulau Pinang dan Putrajaya. Sebaliknya, negeri seperti Kelantan, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak mempunyai indeks yang lebih rendah.
Ini bermaksud seseorang yang memperoleh pendapatan RM5,000 di Kuala Lumpur tidak semestinya menikmati taraf hidup yang sama dengan individu yang memperoleh pendapatan yang sama di Kelantan atau Perlis. Ia kerana kos kehidupan di kedua-dua kawasan tersebut adalah berbeza.
Satu lagi kayu ukur penting ialah corak perbelanjaan isi rumah. Laporan Perbelanjaan Isi Rumah DOSM menunjukkan bahawa purata perbelanjaan isi rumah meningkat kepada sekitar RM5,566 sebulan pada tahun 2024.
Perbelanjaan terbesar adalah bagi perumahan dan utiliti, diikuti makanan, restoran serta pengangkutan. Jika sebahagian besar pendapatan digunakan untuk memenuhi keperluan asas, maka tekanan kos sara hidup akan lebih dirasai walaupun inflasi keseluruhan berada pada tahap rendah.
Oleh itu, menilai kos sara hidup berdasarkan inflasi semata-mata adalah kurang tepat. Penilaian yang lebih menyeluruh perlu mengambil kira beberapa indikator.
Antaranya seperti perubahan harga, jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk kehidupan yang wajar, perbezaan kos mengikut lokasi, pertumbuhan pendapatan isi rumah serta kuasa beli sebenar rakyat.
Kesimpulannya, persoalan sama ada kos sara hidup di Malaysia semakin meningkat tidak boleh dijawab hanya dengan melihat kadar inflasi. Kayu ukur yang lebih tepat ialah sejauh mana pendapatan rakyat mampu menampung peningkatan kos kehidupan.
Sekiranya pendapatan berkembang lebih perlahan daripada peningkatan kos keperluan harian, maka beban kos sara hidup akan terus dirasai walaupun inflasi kelihatan rendah.
Justeru, pendekatan DOSM melalui Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (KSH) merupakan langkah yang lebih komprehensif dalam memahami realiti kehidupan rakyat Malaysia serta membantu kerajaan merangka dasar yang lebih tepat dan bersasar.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: ahmadyani@uis.edu.my