
SAUDARA PENGARANG
- Gunakan baki kempen untuk memperjelas tawaran dan mekanisme pelaksanaan, bukan serangan emosi atau slogan kosong.
- Media arus perdana perlu menjernihkan maklumat dengan liputan isu dan proses yang membantu pengundi faham.
- Perbaiki akses komunikasi, kerana capaian internet lemah menghalang semakan rasmi, laporan aduan dan akses maklumat sahih.
- Pengundi mesti semak sebelum berkongsi; jangan biar emosi atau kumpulan WhatsApp menjadi sumber tunggal keputusan.
Dalam pilihan raya moden, hari-hari terakhir kempen bukan sekadar tempoh akhir untuk meraih undi. Ia juga tempoh paling rapuh bagi pengundi.
Maklumat datang bertubi-tubi, emosi politik memuncak, mesej WhatsApp semakin rancak, video pendek semakin banyak, dan dakwaan yang belum tentu sahih mudah bergerak lebih pantas daripada penjelasan rasmi.
PRN Negeri Sembilan kini berada dalam fasa itu. Pengundian awal telah selesai, melibatkan anggota keselamatan dan pasangan mereka, manakala hari mengundi ditetapkan pada 1 Ogos.Dalam tempoh berbaki, tumpuan biasanya tertumpu kepada strategi parti, jumlah pengundi dan kerusi tumpuan.
Namun satu persoalan yang tidak kurang penting ialah bagaimana pengundi menerima, menilai dan menggunakan maklumat sebelum membuat keputusan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sebelum ini dilaporkan berkata keadaan media sosial sepanjang kempen masih terkawal, tetapi tempoh 72 hingga 96 jam terakhir lazimnya menyaksikan “pecutan akhir” daripada pelbagai pihak.
Setakat laporan itu, MCMC menerima 16 aduan sepanjang kempen, termasuk 14 berkaitan rangkaian telekomunikasi dan dua berkaitan akaun palsu. Pada masa yang sama, beliau turut menekankan keperluan orang ramai melaporkan kandungan yang meragukan serta masalah capaian internet.
Angka itu mungkin tidak besar, tetapi isyaratnya penting. Dalam pilihan raya, masalah maklumat bukan hanya berlaku apabila berita palsu menjadi banyak.
Ia juga berlaku apabila maklumat yang betul tidak sampai dengan cukup jelas, apabila sambungan internet tidak stabil, apabila pengundi tidak tahu sumber rasmi mana patut dirujuk, atau apabila kandungan yang paling kuat dari segi emosi menenggelamkan maklumat yang lebih berguna.
Sebab itu, kita tidak harus melihat 72 jam terakhir kempen sebagai masa untuk membanjiri pengundi dengan lebih banyak poster, slogan dan klip emosi semata-mata. Inilah masa paling penting untuk memperjelas.
Pengundi tidak hanya perlukan rayuan supaya keluar mengundi. Mereka memerlukan penerangan yang membantu mereka membuat keputusan dengan tenang.
Dalam ruang digital, kempen pilihan raya semakin berubah. Calon dan parti menggunakan Facebook, TikTok, YouTube, Threads dan Instagram untuk menyampaikan manifesto, aktiviti harian, kenyataan isu semasa, video santai dan siaran langsung.
Strategi ini wajar kerana pengundi kini berada di pelbagai platform dan tidak semua mengikuti ceramah politik secara fizikal. Namun apabila komunikasi politik terlalu mengejar perhatian, risiko yang muncul ialah pengundi menerima banyak kandungan tetapi sedikit kefahaman.
Kita perlu membezakan antara kandungan dan maklumat. Kandungan boleh menjadi video pendek, potongan ucapan, poster tajam atau kapsyen yang mudah tular. Maklumat pula mesti membantu pengundi memahami isu, membandingkan tawaran, menyemak dakwaan dan mengetahui prosedur mengundi.
Demokrasi tidak menjadi lebih matang hanya kerana kandungan politik semakin kreatif. Demokrasi menjadi lebih matang apabila pengundi semakin faham apa yang sedang dipilih.
Di sinilah semua pihak perlu lebih berdisiplin. Parti politik dan calon sepatutnya menggunakan baki kempen untuk menjelaskan tawaran mereka, bukan sekadar menyerang kelemahan lawan.
Jika bercakap tentang kos sara hidup, terangkan bagaimana bantuan atau dasar itu mahu dilaksanakan. Jika bercakap tentang pekerjaan, nyatakan kumpulan sasaran dan mekanisme.
Jika bercakap tentang pengangkutan, perumahan, pendidikan, OKU, warga emas atau belia, elakkan slogan terlalu besar tanpa jalan pelaksanaan yang jelas.
Media arus perdana pula perlu memainkan peranan sebagai penjernih maklumat. Dalam fasa akhir kempen, liputan yang membantu pengundi memahami proses dan isu tempatan lebih bernilai daripada liputan yang hanya memanjangkan pertelingkahan politik.
Pengundi memerlukan peringatan tentang tarikh, tempat mengundi, dokumen yang perlu dibawa, peraturan berkaitan undi pos, larangan merakam kertas undi dan saluran semakan rasmi.
Mereka juga memerlukan ringkasan isu yang boleh dibandingkan, terutama bagi pengundi kali pertama, warga emas, OKU dan mereka yang tidak mengikuti politik setiap hari.
Aspek rangkaian telekomunikasi juga tidak boleh dianggap isu teknikal semata-mata. Jika capaian internet lemah di laluan tertentu atau kawasan luar bandar, ia bukan hanya menyusahkan pengguna membuat panggilan.
Ia boleh menjejaskan akses kepada maklumat rasmi, semakan lokasi mengundi, laporan aduan, komunikasi kecemasan dan penerimaan berita yang sahih. Dalam pilihan raya digital, infrastruktur komunikasi ialah sebahagian daripada infrastruktur demokrasi.
Pengundi sendiri juga mempunyai tanggungjawab. Dalam tempoh terakhir kempen, jangan mudah berkongsi kandungan yang membuat kita marah sebelum menyemaknya.
Jangan percaya dakwaan hanya kerana ia datang daripada kumpulan WhatsApp keluarga. Jangan anggap video pendek sebagai bukti lengkap. Jangan biarkan emosi menjadi satu-satunya panduan politik.
Jika sesuatu kandungan terlalu mengejutkan, terlalu menghina atau terlalu sempurna untuk menjatuhkan pihak lawan, itulah saat paling penting untuk berhenti seketika.
Kita juga perlu mengakui bahawa tidak semua pengundi mempunyai keupayaan menapis maklumat pada tahap yang sama. Ada pengundi muda yang pantas menggunakan media sosial tetapi masih terdedah kepada manipulasi algoritma.
Ada warga emas yang bergantung pada mesej keluarga. Ada pengundi OKU yang memerlukan maklumat dalam format boleh akses. Ada pekerja syif yang hanya sempat membaca ringkasan berita.
Oleh itu, komunikasi pilihan raya mesti disampaikan dalam bahasa mudah, berulang, boleh disahkan dan mesra pelbagai keadaan hidup.
PRN Negeri Sembilan bukan hanya pertandingan 103 calon di 36 kerusi. Ia juga ujian terhadap kematangan komunikasi politik kita. Dalam 72 jam terakhir sebelum mengundi, persoalannya bukan siapa paling kuat berkempen, tetapi siapa paling bertanggungjawab membantu rakyat memahami pilihan mereka.
Hak mengundi bermula sebelum seseorang tiba di pusat mengundi. Ia bermula ketika pengundi menerima maklumat, menimbang dakwaan, membezakan fakta daripada emosi, dan membuat keputusan dengan yakin.
Dalam demokrasi yang sihat, pecutan akhir kempen tidak sepatutnya menjadi pecutan kekeliruan. Ia sepatutnya menjadi saat terakhir untuk memperjelas, mematangkan dan menghormati pengundi.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Mastura Mahamed
Pensyarah Kanan
Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
E-mel: mastura.mahamed@upm.edu.my