
SAUDARA PENGARANG
- Penyelewengan berpunca daripada kelemahan kawalan dalaman, kurang pemantauan, tiada pemisahan tugas dan peluang penyalahgunaan kuasa.
- Integriti pengurus mesti disokong sistem kawalan, polisi kewangan jelas, audit dalaman dan luaran, bukan bergantung semata-mata pada nilai individu.
- Ketelusan pendedahan kos pentadbiran dan laporan kewangan meningkatkan kepercayaan penyumbang dan mengurangkan persepsi negatif penggunaan dana.
- Pemantauan berlapis, penguatkuasaan tegas dan hukuman, audit berkala dan penggunaan aplikasi jejak dana perlu bagi mencegah penyelewengan.
Isu penyelewengan dana dalam organisasi bukan kerajaan (NGO) semakin mendapat perhatian umum kebelakangan ini. Peningkatan kes penyelewengan dana awam telah menimbulkan
kebimbangan terhadap tahap integriti dan akauntabiliti organisasi ini.
Isu ini bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, tetapi menghakis kepercayaan masyarakat terhadap NGO. Walaupun bukan semua NGO berhadapan dengan isu salah tadbir dan urus dana yang disumbangkan, kesan buruk ini tetap terpalit kepada NGO yang mempunyai integriti dan tadbir urus yang baik.
Ini kerana NGO adalah organisasi yang dekat dengan masyarakat yang berperanan penting dalam pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat.
Punca Penyelewengan Dana
Penyelewengan dana dalam NGO lazimnya berpunca daripada gabungan faktor karektor individu dan kelemahan sistem. Antara punca utama termasuklah kelemahan kawalan dalaman; kekurangan pemantauan dan audit berkala; tiada pemisahan tugas yang jelas dan ada peluang penyalahgunaan kuasa.
Dalam keadaan di mana sistem kawalan tidak kukuh, individu yang diamanahkan lebih terdedah kepada risiko menyalahgunakan dana, sama ada untuk kepentingan peribadi atau tujuan lain yang tidak selaras dengan objektif organisasi.
Konsep Integriti dalam Pengurusan Kewangan
Menurut Undang-undang Kecil Institut Perakaunan Malaysia (By-Laws On Professional Conduct and Practice of Malaysian Institute of Accountants), integriti merujuk kepada bersikap jujur, amanah dan telus dalam semua perhubungan profesional dan perniagaan.
Dalam konteks NGO, integriti menuntut agar pengurus kewangan bersikap jujur, amanah dan telus dalam melaporkan setiap sumbangan yang diterima dan disalurkan secara profesional kepada golongan sasar yang telah ditentukan.
Pengurus kewangan mestilah seorang yang berkelayakan, kompeten dan berintegriti dalam melaksanakan profesionnya. Bagaimanapun, integriti tidak boleh bergantung kepada nilai individu semata-mata.
Ia perlu disokong oleh sistem kawalan audit dalaman dan luaran; polisi kewangan yang jelas dan mekanisme pelaporan yang telus. Gabungan antara integriti individu dan sistem kawalan yang berkesan merupakan asas kepada tadbir urus yang baik kepada setiap organisasi.
Kelemahan Sistem Kawalan dan Penguatkuasaan
Walaupun terdapat peraturan berkaitan pendaftaran pertubuhan dan pengurusan NGO, kelemahan sering berlaku dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan.
Antara isu yang dikenal pasti adalah pemantauan yang tidak konsisten; kelemahan mematuhi piawai pelaporan kewangan dan pendekatan pengurusan yang lebih reaktif berbanding proaktif.
Keadaan ini menyebabkan penyelewengan hanya dikesan selepas berlakunya kerugian yang signifikan.
Isu Ketelusan dalam Kos Pengurusan Dana
Dalam menguruskan dana NGO, kos pentadbiran dan pengurusan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Secara amnya, tiada kadar kos pengurusan tertentu ditetapkan. Cuma amalan baik (best practice) kadar di antara 10 peratus hingga 30 peratus adalah dianggap munasabah bergantung kepada jenis operasi dan projek.
Namun, isu utama bukanlah pada kadar tersebut. Tetapi pada tahap ketelusan organisasi mendedahkan maklumat kadar kos pengurusan melalui brosur atau iklan promosi mereka kepada penyumbang.
Ketelusan dalam pendedahan kos pengurusan dan pelaporan kewangan NGO amat signifikan dalam meningkatkan kepercayaan penyumbang dan pemegang taruh. Malah ketelusan ini mampu mengurangkan persepsi negatif terhadap penggunaan dana.
Implikasi Penyelewengan Dana
Kesan penyelewengan dana sebenarnya melangkaui aspek kewangan semata-mata. Ia turut mendorong kepada implikasi yang lebih berat seperti hilang kepercayaan masyarakat terhadap NGO; merosakkan reputasi NGO; mengurangkan kadar sumbangan awam dan lebih buruk jika bantuan yang sangat diperlukan tidak cukup untuk diagihkan kepada golongan sasar.
Kehilangan kepercayaan merupakan implikasi paling kritikal kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada kelangsungan pertubuhan NGO.
Tanggungjawab Pemantauan dan Tadbir Urus
Pemantauan terhadap laporan kewangan NGO memerlukan pendekatan berlapis dengan melibatkan Ahli Lembaga Pengurusan; Pihak pengurusan; Juruaudit bebas dan pihak berkuasa. Kegagalan mana-mana lapisan ini boleh membuka ruang kepada penyelewengan berskala besar.
Tindakan dan Hukuman Terhadap Pesalah
Tindakan terhadap pengurus yang didapati bersalah terlibat kes penyelewengan perlu tegas dan tanpa kompromi. Antaranya dengan mengenakan hukuman denda dan penjara (perlu kepada penggubalan akta tertentu); larangan memegang jawatan dalam organisasi dan memulangkan amaun dana yang telah diseleweng.
Selain hukuman, pihak berkuasa perlu memastikan semakan terhadap laporan kewangan NGO mengikut pemilihan sampel dikuatkuasakan. Tindakan ini adalah penting dalam mencegah selain memastikan kesalahan penyelewangan dana awam tidak berulang.
Cadangan Penambahbaikan
Bagi memperkukuhkan integriti dan memulihkan kepercayaan masyarakat, beberapa langkah strategik turut dicadangkan. Ini kerana kepercayaan masyarakat adalah aset paling berharga bagi NGO.
Antaranya langkah yang boleh diambil oleh NGO adalah dengan meningkatkan ketelusan melalui capaian mudah laporan kewangan di laman web organisasi; memastikan laporan kewangan diaudit oleh juruaudit bebas; menggunakan aplikasi untuk menjejak aliran dana dan pematuhan piawai pelaporan kewangan NGO.
Langkah-langkah ini penting bagi memastikan tadbir urus yang lebih cekap dan berintegriti oleh NGO. Malah ini mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap tadbir urus kewangan NGO.
Isu penyelewengan dana NGO merupakan cabaran serius yang memerlukan perhatian menyeluruh dari seluruh rakyat Malaysia. Ini kerana Integriti, ketelusan dan akauntabiliti adalah nadi kredibiliti dan reputasi organisasi.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Norhanizah Johari
Pensyarah Perakaunan
Jabatan Perakaunan
Fakulti Ekonomi Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor (UIS)
e-mel : norhanizah@uis.edu.my