
SAUDARA PENGARANG
- Media Islam gagal mengaitkan realiti geopolitik dan ekonomi global dengan pengalaman dan kefahaman ibadah haji, menyebabkan kefahaman umat cetek.
- Era digital dan algoritma memperkuatkan pembingkaian sensasi, sehingga hubungan antara konflik global dan kehidupan jemaah jarang dihuraikan secara mendalam.
- Media Islam perlu membingkai naratif lebih menyeluruh dan seimbang untuk mempersiapkan umat secara mental dan praktikal menghadapi ketidaktentuan dunia.
Musim haji sentiasa diraikan sebagai detik penyatuan umat Islam yang melangkaui sempadan bangsa dan negara. Namun naratif ini sering terlalu romantik, seolah-olah ibadah tersebut berlangsung dalam ruang yang terpisah daripada realiti dunia.
Hakikatnya, haji pada hari ini berlangsung dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu yang dibayangi konflik antarabangsa, persaingan kuasa besar dan tekanan ekonomi yang memberi kesan kepada hampir setiap aspek kehidupan manusia.
Masalah sebenar bukan pada ketidaktentuan dunia semata-mata, tetapi pada kegagalan naratif media termasuk media Islam untuk menghubungkan realiti global dengan pengalaman ibadah umat.
Persoalannya, sejauh mana realiti ini diakui dan dijelaskan kepada masyarakat? Atau kita terus memilih untuk melihat haji hanya sebagai pengalaman spiritual yang terasing daripada dinamika dunia semasa?
Dalam keadaan dunia yang saling bergantung, pendekatan melihat haji secara terpisah daripada konteks geopolitik dan ekonomi global bukan sahaja tidak memadai, malah boleh menimbulkan kefahaman yang cetek.
Lebih membimbangkan, apabila media dunia termasuk media Islam gagal menghubungkan kedua-dua dimensi ini, maka umat akan terus memahami ibadah tanpa menyedari struktur besar yang turut membentuk pengalaman tersebut.
Apa yang berlaku di peringkat global, khususnya konflik melibatkan kuasa besar di Asia Barat, sering dikaitkan dengan gangguan ekonomi dunia dan turun naik harga minyak.
Bagaimanapun, penting untuk difahami bahawa bagi Malaysia, kos tambang dan urusan haji kekal stabil, hasil pengurusan yang tersusun dan sistematik oleh pihak berwajib.
Namun, kestabilan ini tidak bermakna haji terpisah daripada realiti dunia. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa ibadah ini berada dalam sistem global yang saling berkait, walaupun kesannya tidak sentiasa kelihatan secara langsung kepada jemaah.
Bagaimana Media Membentuk Kefahaman Kita
Persoalan penting ialah: Bagaimana masyarakat memahami hubungan antara konflik dunia dan ibadah haji? Jawapannya banyak bergantung kepada media.
Liputan media global lazimnya menumpukan kepada perang, politik dan harga minyak, tapi bukan pada kesannya terhadap umat. Jarang sekali dibincangkan bagaimana semua ini memberi kesan kepada umat Islam, khususnya dalam konteks ibadah haji.
Akibatnya, masyarakat melihat konflik dunia dan ibadah sebagai dua realiti yang tidak saling berkaitan
Dalam bidang komunikasi, ini dikenali sebagai pembingkaian media atau framing. Media bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi menentukan sudut kefahaman. Apa yang tidak dibingkaikan dengan jelas, akan terkeluar daripada kefahaman masyarakat.
Apa yang dibingkaikan media global adalah konflik dan kuasa, tetapi apa yang tidak dibingkaikan ialah kesan terhadap umat termasuk dalam konteks ibadah seperti haji.
Inilah yang menyebabkan ramai bakal jemaah tidak melihat hubungan antara krisis global dan pengalaman ibadah haji tahun ini yang akan mereka lalui.
Naratif Ibadah Haji dalam Media Islam
Dalam keadaan ini, media Islam sepatutnya memainkan peranan penting untuk melengkapkan kefahaman tersebut. Namun realitinya, sebahagian kandungan media Islam masih tertumpu kepada aspek ibadah secara individu seperti panduan manasik haji, doa dan pengalaman spiritual.
Ke Semua ini penting, tetapi belum mencukupi. Media Islam jarang mengaitkan ibadah dengan konteks dunia semasa. Kurang perbincangan tentang bagaimana konflik global, ekonomi dan kuasa dunia memberi kesan kepada umat Islam secara keseluruhan.
Sedangkan kajian dalam bidang media menunjukkan bahawa kandungan tidak berlaku secara kebetulan. Ia dipengaruhi oleh cara fikir penerbit, struktur organisasi dan juga tekanan industri.
Apa yang dipaparkan oleh media sebenarnya terbentuk daripada tiga faktor utama iaitu cara fikir penerbit kandungan, tekanan industri media, dan bagaimana kandungan itu dibina untuk menarik perhatian khalayak.
Ini bermaksud, naratif yang kita lihat adalah hasil pilihan, iaitu apa yang dianggap penting untuk ditonjolkan dan apa yang dirasakan tidak penting. Apabila media Islam tidak membingkaikan isu secara menyeluruh, maka wujud jurang kefahaman dalam kalangan masyarakat.
Cabaran Media Digital dan Algoritma
Cabaran ini menjadi lebih besar dalam era media digital. Hari ini, media sosial dan platform digital banyak menentukan apa yang dilihat oleh masyarakat. Kandungan yang sensasi, dramatik dan beremosi lebih mudah mendapat perhatian.
Berita tentang konflik dan krisis global tersebar dengan cepat. Namun, hubungan antara isu global dan kehidupan umat Islam jarang dihuraikan secara mendalam.
Ini menghasilkan kefahaman yang terpisah. Masyarakat mengetahui konflik, tetapi tidak memahami kaitannya dengan kehidupan mereka, termasuk dalam manasik haji.
Dalam keadaan ini, pembingkaian media menjadi semakin penting. Tanpa naratif yang jelas, masyarakat akan membina kefahaman sendiri yang mungkin tidak tepat atau tidak lengkap.
Ke Arah Naratif Media Islam yang Lebih Menyeluruh
Justeru, media Islam perlu bergerak ke arah pendekatan yang lebih seimbang. Selain menyampaikan ilmu ibadah, media Islam juga perlu membantu umat memahami realiti dunia semasa. Tujuannya bukan untuk menakutkan, tetapi untuk memperjelas kefahaman.
Haji mungkin stabil dari segi kos dan pengurusan, tetapi kefahaman tentangnya masih tidak stabil kerana naratif yang tidak lengkap. Sebagai contoh, penting untuk dijelaskan bahawa kestabilan kos haji di Malaysia adalah hasil pengurusan yang teliti dan sistematik. Pada masa yang sama, perlu juga diterangkan bahawa dunia di sekeliling tetap memberi tekanan kepada sistem tersebut.
Pendekatan ini akan membantu masyarakat melihat gambaran yang lebih lengkap bahawa ibadah dan dunia bukan dua perkara yang terpisah. Ini akan menjadikan mereka bersedia secara mental dan fizikal menghadapi apa-apa situasi ketika di tanah suci.
Akhirnya, haji tetap ibadah yang akan dilaksanakan pada ketetapan waktunya dan tidak berubah. Namun dunia di sekelilingnya sentiasa berubah, berevolusi dan berkonflik.
Dalam keadaan ini, umat Islam bukan sahaja perlu bersedia dari segi ibadah, tetapi juga dari segi kefahaman. Kerana dalam dunia hari ini, kefahaman tidak terbentuk dengan sendiri. Ia difahami melalui apa yang kita lihat, dengar dan baca.
Jadi, di sinilah peranan media Islam menjadi semakin penting dalam memastikan umat bukan sahaja mendapat maklumat, tetapi juga memahami realiti dengan lebih tepat, seimbang dan bermakna.
Ini kerana, dalam dunia yang semakin ditentukan oleh naratif, cabaran sebenar bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi kekurangan kefahaman. Dan di sinilah media Islam diuji sama ada terus menyampaikan perjalanan ibadah haji secara terpisah, atau berani membingkai realiti dunia sebagai sebahagian daripada pengalaman ummah.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Md Rozalafri Johori
Pensyarah Kanan Program Komunikasi (Penyiaran)
Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi
Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor
e-mail: rozalafri@uis.edu.my