fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka kekal berdaya tahan minggu depan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 16 Mac- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal berdaya tahan minggu depan dalam keadaan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata susulan peningkatan permintaan terhadap logam kuning itu oleh People's Bank of China serta risiko perang teknologi di antara China dengan AS, yang boleh menyebabkan perang perdagangan dalam erti kata sebenar, harga emas kini disokong dengan baik.

“Cabaran besar untuk emas akan berlaku apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) mengeluarkan Ringkasan Prestasi Ekonomi minggu depan dengan data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) baru-baru ini membawa kemungkinan besar Fed memberi isyarat hanya dua kali pengurangan kadar faedah berbanding tiga, yang boleh menekan harga emas ke bawah,” katanya.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, kontrak niaga hadapan emas didagangkan bercampur-campur, menjejaki prestasi niaga hadapan emas di Bursa Komoditi New York dan dolar AS yang lebih kukuh.

Jumlah dagangan niaga hadapan emas di pasaran tempatan susut kepada 105 lot daripada 192 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 43 kontrak daripada 63 kontrak.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semasa Mac 2024 turun kepada US$2,173.80 setiap auns troy daripada US$2,176.10 setiap auns troy minggu lepas.

Kontrak untuk April 2024, Mei 2024, Jun 2024, Ogos 2024 dan Oktober 2024 masing-masing diselesaikan lebih rendah pada US$2,183.90 setiap auns troy daripada US$2,186.40 setiap auns troy minggu lepas.

Harga emas fizikal adalah US$2,160.80 setiap auns troy, menurut penetapan petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 14 Mac, 2024.- BERNAMA

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM